TERTUDUH kes dadah dan PKP dituduh di Mahkamah Majistret Bahau. FOTO Abnor Hamizam
TERTUDUH kes dadah dan PKP dituduh di Mahkamah Majistret Bahau. FOTO Abnor Hamizam
Abnor Hamizam Abd Manap

ENAM tokan dadah didakwa di Mahkamah Majistret Bahau, hari ini kerana mengedar dadah pada 9 dan 11 April lalu.

Tertuduh Mohamad Akmal Ishak, 30; Mohd Faizal Ahmad, 35; Muhammad Zaki Mustapa, 29; Mohamad Shazwan Razaq Mohd Zin, 27 dan Rosli Hashim, 59 masing-masing dari FELDA Palong didakwa mengikut Seksyen 39B dan Seksyen 39A (1) Akta Dadah Berbahaya (ADB) 1952.

Bagi pertuduhan mengikut Seksyen 39B ADB 1952 kesemua tertuduh faham ketika kertas pertuduhan yang dibaca jurubahasa di hadapan Majistret Khir Nizam Jemari.

Bagaimanapun bagi pertuduhan mengikut Seksyen 39A (1) akta sama, kesemua tertuduh tidak mengaku salah.

Mengikut kertas pertuduhan bagi Seksyen 39B ADB kesemua tertuduh bersama-sama pada 11.45 pagi, 9 April lalu mengedar dadah berbahaya jenis heroin seberat 88.68 gram di sebuah rumah di FELDA Palong 11.

Kesemua tertuduh juga dituduh secara bersama-sama dituduh memiliki dadah jenis syabu seberat 6.87 gram dan dituduh mengikut Seksyen 39A(1) ADB 1952.

Sementara, seorang lagi tertuduh Museslini Dolah, 52 dari FELDA Lui Timur turut dituduh di mahkamah sama mengikut Seksyen 39B ADB 1952.

Mengikut kertas pertuduhan, tertuduh pada 4 petang, 11 April lalu didapati mengedar dadah di Kebun Devan di ladang sawit FELDA Lui Timur.

Tertuduh faham ketika pertuduhan yang dibaca.

Khir Nizam kemudian menetapkan 19 Mei ini bagi sebutan laporan kimia selain tiada jaminan untuk kesemua tertuduh.

Selain berdepan hukuman kerana mengedar dadah lima tertuduh juga hukum penjara dan denda kerana melanggar arahan Perintah Kawalan Pergerakan ( PKP).

Mohamad Akmal, Mohd Faizal, Muhammad Zaki dan Mohamad Shazwan Razaq dijatuhi hukuman penjara 30 hari mengikut Peraturan 6, Peraturan-peraturan Pencegahan dan Pengawalan Penyakit Berjangkit (Langkah - Langkah Di Dalam Kawasan Tempat Jangkitan) 2020 yang boleh dihukum mengikut Peraturan 11(1) peraturan sama dan dibaca bersama Seksyen 34 Kanun Keseksaan.

Museslini turut dijatuhi hukuman penjara 30 hari mengikut Peraturan 3(1) Peraturan - Peraturan Pencegahan dan Pengawalan Penyakit Berjangkit ( Langkah - Langkah Di Dalam Kawasan Tempat Jangkitan) 2020 yang boleh dihukum mengikut Peraturan 11 (1) peraturan yang sama.

Pendakwaan kes dikendalikan Timbalan Pendakwa Raya, Muhammad Amirul Noor Hashimi manakala kesemua tertuduh tidak diwakili peguam.

  • Lagi berita berkaitan Perintah Kawalan Pergerakan
  • Artikel ini disiarkan pada : Jumaat, 17 April 2020 @ 4:46 PM