Gambar Hiasan
Gambar Hiasan
Meor Riduwan Meor Ahmad


Ayer Keroh: Pekerja penyelenggaraan dan isterinya yang hamil tujuh bulan berdepan hukuman gantung sampai mati selepas dihadapkan ke Mahkamah Majistret di sini, hari ini atas tuduhan mengedar dadah jenis kanabis, bulan lalu.

Aidil Shazreen Sanip, 29, dan isterinya, Maizurah Nurshafera Md Said, 30, mengangguk faham sebaik pertuduhan dibacakan di hadapan Majistret Mazana Sinin.

Bagaimanapun tiada pengakuan direkodkan daripada kedua-duanya.

Suami isteri itu dituduh bersama-sama mengedar kanabis dengan berat kasar 1,170 gram dalam Proton Persona di hadapan rumah di Kampung Semabok JMMU, dekat sini pada 6.30 petang, 29 September 2022.

Kesalahan didakwa mengikut Seksyen 39B (1) Akta Dadah Berbahaya (ADB) 1952 dan dihukum mengikut Seksyen 39B (2) akta sama serta dibaca bersama Seksyen 34 Kanun Keseksaan, yang sabit kesalahan boleh dihukum gantung sampai mati.

Pendakwaan dikendalikan Timbalan Pendakwa Raya Sharina Farhana Nor Sa'ari, manakala tertuduh diwakili peguam Noor Svetlana Mohd Noor Nordin.

Terdahulu, Noor Svetlana memohon agar mahkamah menggunakan budi bicara mengikut Seksyen 388 Kanun Tatacara Jenayah untuk membenarkan Maizurah Nurshafera diikat jamin, mengambil kira wanita itu mengandung tujuh bulan dan dijangka melahirkan anak ketiganya pada 27 Disember.

Bagaimanapun, pendakwaan membantah dengan memaklumkan Seksyen 41B(1) ADB 1952 secara spesifik menyatakan ikat jamin tidak diberikan kepada tertuduh yang melakukan kesalahan membawa hukuman mati.

Mazana kemudiannya tidak membenarkan tertuduh diikat jamin dan kes dipindahkan ke Mahkamah Tinggi.

"Terpulang kepada peguam jika mahu membuat permohonan jaminan di Mahkamah Tinggi," katanya.

Mahkamah menetapkan 21 November depan untuk sebutan semula kes bagi mendapatkan laporan kimia berat sebenar dadah.

Artikel ini disiarkan pada : Khamis, 6 Oktober 2022 @ 5:31 PM