BOT yang membawa PATI Rohingya cuba memasuki perairan negara. FOTO ihsan TUDM
BOT yang membawa PATI Rohingya cuba memasuki perairan negara. FOTO ihsan TUDM
Hafidzul Hilmi Mohd Noor


CUBAAN kira-kira 200 pendatang asing tanpa izin (PATI) etnik Rohingya menyeludup masuk ke negara ini menerusi perairan Langkawi berjaya dipatahkan Tentera Udara Diraja Malaysia (TUDM) .

TUDM dalam satu kenyataan menerusi Facebook berkata, bot dinaiki PATI itu dikesan pesawat TUDM di kedudukan 70 batu nautika iaitu 129.6 kilometer (km) dari barat Pulau Langkawi, pada 10.26 pagi tadi.

“Pesawat TUDM seterusnya menghubungi kapal Tentera Laut Diraja Malaysia (TLDM) iaitu KD Lekiu dan KD Lekir yang terus digerakkan ke lokasi itu.

“Kedua-dua kapal itu kemudian berjaya memintas bot berkenaan dengan bantuan helikopter Super Lynx TLDM bagi mengekang pergerakan bot PATI itu,” katanya.

Menurutnya, atas dasar kemanusiaan anak kapal KD Lekiu mengagihkan bekalan makanan kepada kumpulan warga asing berkenaan sebelum mengiringi bot berkenaan keluar dari memasuki perairan negara.

“Dengan keadaan penempatan serta kehidupan yang daif di tempat asal mereka, adalah sangat dibimbangi kumpulan PATI yang cuba memasuki Malaysia sama ada melalui jalan darat atau laut akan membawa kluster baharu Covid-19.

“Operasi pengawasan maritim udara ini akan terus dipergiatkan tambahan di dalam krisis dunia yang dilanda pandemik Covid-19 yang menjadikan Malaysia sebagai tumpuan kumpulan PATI,” katanya.

  • Lagi berita berkaitan Covid-19
  • Artikel ini disiarkan pada : Khamis, 16 April 2020 @ 10:28 PM