Kerjasama pertahanan antara Tentera Laut Diraja Malaysia (TLDM) dan Tentera Laut Republik Singapura (TLRS) terus diperkasakan dan kekal utuh menerusi pelaksanaan Eksesais Malaysia-Singapura (MALAPURA) 29/2021 di sekitar perairan Selat Melaka. FOTO IHSAN TLDM
Kerjasama pertahanan antara Tentera Laut Diraja Malaysia (TLDM) dan Tentera Laut Republik Singapura (TLRS) terus diperkasakan dan kekal utuh menerusi pelaksanaan Eksesais Malaysia-Singapura (MALAPURA) 29/2021 di sekitar perairan Selat Melaka. FOTO IHSAN TLDM
Noor Hidayah Tanzizi


Lumut: Kerjasama pertahanan antara Tentera Laut Diraja Malaysia (TLDM) dan Tentera Laut Republik Singapura (TLRS) diperkasakan dan kekal utuh menerusi pelaksanaan Eksesais Malaysia-Singapura (MALAPURA) 29/2021 di sekitar perairan Selat Melaka.

Bahagian Komunikasi Strategik Markas Pemerintahan Armada Barat, Lumut berkata, eksesais bilateral tahunan berkonsepkan Field Training Exercise (FTX) kali ke-29 itu dilaksanakan bermula 20 September lalu hingga hari ini.

"Mendepani pandemik (Covid-19), pelaksanaan eksesais yang hampir menjangkau usia empat dekad ini berpandukan norma baharu secara atas talian bagi peringkat perancangan, pembukaan dan penutup serta beberapa siri latihan di laut dilaksanakan secara 'contactless'.

"Antara siri latihan yang berjaya direalisasikan meliputi peperangan anti-serangan udara, penembakan sasaran permukaan, manuvra taktikal dan pengoperasian bot.

"Kelangsungan latihan yang lancar tanpa sebarang insiden jelas menggambarkan sikap profesionalisme, keupayaan dan ketersediaan warga kedua-dua angkatan laut," katanya dalam kenyataan, hari ini.

Menurutnya, bagi menyemarakkan persahabatan, kedua-dua angkatan laut mempamerkan komitmen kesefahaman yang jitu menerusi pembabitan empat aset oleh TLDM iaitu Kapal Diraja (KD) Lekiu, KD Lekir, KD Handalan dan helikopter Super Lynx.

Katanya, empat aset oleh TLRS membabitkan RSS Stalwart, RSS Vigilance, RSS Vigour serta helikopter S-70B.

"Turut serta menjayakan eksesais adalah pesawat F/A 18D dan HAWK TUDM bersama Fast Combat Boat TLDM," katanya.

Katanya, secara keseluruhan eksesais itu berjaya memenuhi objektif dan TLDM akan terus komited memanfaatkan setiap peluang beroperasi bersama angkatan laut lain bagi memastikan keselamatan perairan serantau sentiasa terjamin.

Artikel ini disiarkan pada : Isnin, 27 September 2021 @ 3:13 PM