Muhaamad Hafis Nawawi


PERINTAH Kawalan Pergerakan (PKP) fasa ketiga yang bermula semalam sudah diwartakan yang mana polis mempunyai kuasa melakukan tangkapan kepada mereka yang ingkar.

Menteri Kanan (Kluster Keselamatan) Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob berkata, kerajaan menegaskan bahawa ia sudah diwartakan kerana sebelum ini tersebar berita palsu mendakwa PKP fasa ketiga tidak diwartakan, sekali gus menimbulkan tanggapan umum polis tidak mempunyai kuasa untuk bertindak.

Menurutnya, kerajaan memandang serius penularan berita palsu itu sedangkan ia sudah diwartakan dan polis ada kuasa untuk membuat tangkapan.

“Selain itu, sebanyak 2,088 operasi sanitasi di 101 zon termasuk 27 zon merah dilakukan di bawah kawal selia Kementerian Perumahan dan Kerajaan Tempatan (KPKT) sejak 30 Mac lalu.

“Antara kawasan disanitasi ialah 1,446 bangunan kerajaan, 860 tempat awam, 906 pusat perniagaan dan 168 pasar raya,” katanya pada sidang media harian di Putrajaya, hari ini.

Beliau berkata, semalam sebanyak 219 operasi sanitasi membabitkan 74 zon di 13 negeri termasuk 39 kawasan di Johor dan 23 di Pahang di mana sebanyak 144 bangunan kerajaan, 97 tempat awam, 90 pusat perniagaan dan 20 pasar raya disanitasi.

“Selain itu, setakat semalam sebanyak 180 pusat kuarantin beroperasi berbanding 177 pada hari sebelumnya yang mana 15,093 individu sedang menjalani kuarantin wajib.

“Seramai 820 rakyat Malaysia juga sudah pulang ke tanah air dan dikuarantin wajib,” katanya.

  • Lagi berita berkaitan perintah kawalan pergerakan
  • Artikel ini disiarkan pada : Khamis, 16 April 2020 @ 4:10 PM