Muhaamad Hafis Nawawi


SERAMAI 1,057 individu ditahan di seluruh negara kerana ingkar perintah kawalan pergerakan (PKP) fasa ketiga pada hari kedua semalam.

Menteri Kanan (Kluster Keselamatan) Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob berkata, ia merangkumi 906 individu direman dan 151 individu dijamin polis.

Menurutnya, seramai 622 individu dituduh di mahkamah atas kesalahan mengingkari PKP.

“Jumlah tangkapan kumulatif ingkar PKP sehingga semalam adalah 12,074 individu.

“Polis Diraja Malaysia (PDRM) bersama Angkatan Tentera Malaysia (ATM) turut mengadakan 813 sekatan jalan raya di seluruh negara dan melakukan pemeriksaan ke atas 557,699 kenderaan semalam,” katanya pada sidang media harian di Putrajaya, hari ini.

GAMBAR hiasan. FOTO Mohd Azren Jamaludin
GAMBAR hiasan. FOTO Mohd Azren Jamaludin

Ismail Sabri berkata, sebanyak 57,344 pemeriksaan mengejut diadakan di seluruh negara dengan sebanyak 5,220 premis diperiksa oleh pihak berkuasa.

“Ops Sanitasi Awam di bawah kawal selia Kementerian Perumahan dan Kerajaan Tempatan (KPKT) sejak 30 Mac sudah melakukan 2,284 operasi sanitasi di 102 zon termasuk di 27 Zon Merah.

“Antara kawasan yang disanitasi, 1,446 bangunan kerajaan, 860 tempat awam, 906 pusat perniagaan dan 168 pasar raya,” katanya.


Beliau berkata, semalam sebanyak 196 operasi sanitasi meliputi 70 zon di 14 negeri, termasuk 41 kawasan di Johor dan 21 kawasan di Kelantan, yang mana sebanyak 129 bangunan kerajaan, 87 tempat awam, 64 pusat perniagaan dan 15 pasar raya disanitasi.

“Mengenai pusat kuarantin, pula semalam sebanyak 185 Pusat Kuarantin beroperasi berbanding 180 pada hari sebelumnya, yang mana 16,391 individu sedang menjalani proses kuarantin wajib.

“Seramai 766 rakyat Malaysia telah pulang ke tanah air dan telah dikuarantin wajib semalam,” katanya.


  • Lagi berita berkaitan perintah kawalan pergerakan
  • Artikel ini disiarkan pada : Jumaat, 17 April 2020 @ 4:15 PM