Suraya Roslan dan Hafidzul Hilmi Mohd Noor


SERAMAI 763 individu ditahan akibat ingkar Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) fasa ketiga yang memasuki hari kesembilan, hari ini.

Menteri Kanan (Kluster Keselamatan) Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob berkata, jumlah itu sedikit berkurangan berbanding 865 individu yang ditahan sebelumnya.

"Daripada jumlah itu, 648 individu direman dan 115 dijamin polis manakala 860 individu dituduh di mahkamah semalam.

"Polis Diraja Malaysia bersama Angkatan Tentera Malaysia mengadakan 835 sekatan jalan raya di seluruh negara dan melakukan pemeriksaan ke atas 581,942 kenderaan setakat semalam," katanya dalam sidang media harian di Putrajaya, hari ini.


Menurutnya, selain itu, sebanyak 41,184 pemeriksaan mengejut diadakan di seluruh negara dengan 6,658 premis diperiksa pihak berkuasa.

"Jumlah tangkapan kumulatif ingkar PKP sehingga semalam adalah seramai 18,498 individu.

"Saya ingin menasihatkan untuk semua mematuhi peraturan PKP, menjaga kebersihan diri dan mengamalkan penjarakan sosial," katanya.

ISMAIL Sabri
ISMAIL Sabri

Sementara itu, Ismail Sabri berkata, sebanyak 3,585 operasi sanitasi awam di 113 zon termasuk 30 di zon merah dilakukan Kementerian Perumahan dan Kerajaan Tempatan sejak 30 Mac lalu.

"Sebanyak 253 operasi sanitasi meliputi 79 zon di 13 negeri termasuk 39 kawasan di Johor dan 26 di Perak dilakukan semalam merangkumi 181 bangunan kerajaan, 158 tempat awam, 103 pusat perniagaan dan 16 pasar raya.

"Secara keseluruhan, sebanyak 2,423 bangunan kerajaan, 1,498 tempat awam,1,590 pusat perniagaan, 248 pasar raya dan 1,205 kawasan perumahan termasuk Projek Perumahan Rakyat disanitasi," katanya.


Menurutnya, sebanyak 201 pusat kuarantin beroperasi setakat semalam dan 15,880 orang sedang menjalani kuarantin wajib.


  • Lagi berita berkaitan Covid-19

  • Lagi berita berkaitan Perintah Kawalan Pergerakan
  • Artikel ini disiarkan pada : Khamis, 23 April 2020 @ 3:37 PM