Nurul Amanina Suhaini


SERAMAI 70 individu ditahan semalam kerana ingkar Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) di negeri ini menjadikan keseluruhan 1,497 individu sejak 18 Mac lalu.

Ketua Polis Johor Datuk Ayob Khan Mydin Pitchay berkata, jumlah tangkapan harian yang ingkar itu membabitkan lingkungan usia di antara 15 hingga 75 tahun.

Katanya, sehingga kini seramai 928 individu didakwa di Mahkamah Johor Bahru atas kesalahan ingkar PKP.

“Seramai 642 individu dikenakan kompaun RM1,000 susulan ingkar PKP sejak 8 April hingga semalam.

“Kesemua tangkapan disiasat dan didakwa mengikut Seksyen 186 Kanun Keseksaan dan Seksyen 22 (b) Akta Pencegahan Dan Pengawalan Penyakit Berjangkit 1998 (Akta 342),” katanya dalam kenyataan hari ini.

Beliau berkata, kesalahan juga boleh disiasat mengikut Peraturan (3) Pencegahan Dan Pengawalan Penyakit Berjangkit (Pengisytiharan Kawasan Tempatan Jangkitan) 2020.

“Polis Johor akan mengambil tindakan lebih tegas bagi fasa kedua PKP ini terhadap mana-mana orang yang ingkar dan tidak mematuhi arahan yang sudah ditetapkan.

“Orang ramai yang mempunyai sebarang pertanyaan boleh menghubungi Hotline Polis Johor di talian 07-221 29 99 atau mana-mana balai polis berhampiran,” katanya.

  • Lagi berita berkaitan perintah kawalan pergerakan
  • Artikel ini disiarkan pada : Rabu, 15 April 2020 @ 10:39 AM