HAMDAN kiri) bertemu gelandangan di pusat gelandangan sementara di Institut Latihan KEMAS Kuantan, Alor Akar. FOTO Mohd Rafi Mamat.
HAMDAN kiri) bertemu gelandangan di pusat gelandangan sementara di Institut Latihan KEMAS Kuantan, Alor Akar. FOTO Mohd Rafi Mamat.
Mohd Rafi Mamat


MAJLIS Perbandaran Kuantan (MPK) menyelamatkan 28 gelandangan berusia antara 20 hingga 70 tahun dalam Operasi Selamatkan Gelandangan dari Covid-19 di Kuantan, kelmarin.

Operasi dijalankan bersama Jabatan Kebajikan Masyarakat (JKM) Pahang, Majlis Ugama Islam dan Adat Resam Melayu Pahang (MUIP), Jabatan Kesihatan Daerah (JKD) Kuantan serta Polis Diraja Malaysia (PDRM) bagi memastikan gelandangan tidak terdedah dengan pandemik itu.

Yang Dipertua MPK Datuk Hamdan Hussin berkata, semua gelandangan terbabit kini ditempatkan di pusat gelandangan sementara di Institut Latihan KEMAS Kuantan, Alor Akar, Kuantan.

“Operasi seumpama ini akan diteruskan bagi memastikan nasib golongan ini terbela, selain mengelakkan mereka terdedah dengan wabak Covid-19 terutama selepas Kuantan dikategorikan sebagai zon merah.

“Ini kali pertama gelandangan dapat dikumpul di bawah satu bumbung dalam usaha memastikan bandar ini bebas daripada golongan terbabit yang tidak mempunyai tempat tinggal disebabkan pelbagai faktor,” katanya selepas melawat dan menerima bantuan barangan dari dua syarikat swasta untuk kegunaan pusat gelandangan sementara berkenaan, hari ini.

Dalam pada itu, Hamdan berkata, MPK bercadang menyediakan pusat penempatan gelandangan khusus untuk menempatkan golongan terbabit.

Katanya, ia akan menjadi pusat penempatan pertama di daerah ini akan mempunyai kemudahan yang selesa dan lengkap.

“Usaha ini akan dibantu sepenuhnya beberapa agensi kerajaan lain termasuk pertubuhan bukan kerajaan (NGO) dan syarikat swasta,” katanya.

Sementara itu Pengarah JKM Pahang Zulkhairi Zainal Abidin berkata, pihaknya turut sama membantu melancarkan lagi pengurusan pusat gelandangan sementara yang kali pertama diwujudkan bagi membantu golongan berkenaan di daerah ini.

Katanya, semua gelandangan perlu mengikuti jadual serta aktiviti yang disusun pihak urus setia seperti sesi motivasi, solat, muhasabah diri dan saringan kesihatan.

“Mereka tidak dibenarkan keluar daripada kawasan pusat yang dikawal sepenuh anggota keselamatan.

“Selain warga emas yang ditinggalkan keluarga, gelandangan yang ditahan pada operasi kelmarin terdiri daripada individu yang baharu bebas daripada Pusat Pemulihan Penagihan Narkotik (PUSPEN) dan penjara di negeri ini.

“Mereka tidak mempunyai tempat tinggal dan terpaksa tidur di kaki lima bangunan di bandar ini,” katanya.

Beliau berkata, operasi bukan bertujuan menghukum tetapi lebih kepada menolong dan ia diharap dapat membuka jalan untuk golongan terbabit membina hidup baru.

  • Lagi berita berkaitan perintah kawalan pergerakan
  • Artikel ini disiarkan pada : Selasa, 14 April 2020 @ 3:15 PM