HAMDAN (tengah) bertanyakan sesuatu kepada seorang gelandangan SUKPA, Kuantan. FOTO Ihsan MPK
HAMDAN (tengah) bertanyakan sesuatu kepada seorang gelandangan SUKPA, Kuantan. FOTO Ihsan MPK
Asrol Awang


NASIB gelandangan di Kuantan, dari segi keselamatan dan kesihatan terbela selepas mendapat perhatian agensi kerajaan dan pertubuhan bukan kerajaan (NGO).

Setakat ini, 28 gelandangan diselamatkan pada Operasi Prihatin membabitkan Majlis Perbandaran Kuantan (MPK), Jabatan Kebajikan Masyarakat (JKM), Agensi Antidadah Kebangsaan (AADK), Polis Diraja Malaysia (PDRM) dan Pejabat Kesihatan Daerah Kuantan.

Selain itu, Majlis Ugama Islam dan Adat Resam Melayu Pahang (MUIP) serta Gabungan Pertubuhan Sukarelawan Kebajikan Negeri Pahang (GPSK) dan Suara Anak Pahang turut membantu.

Ketua Seksyen dan Korporat MPK Norkamawati Kamal berkata, berdasarkan statistik, 11 individu ditempatkan di asrama gimnasium Kompleks Sukan Pahang (SUKPA), Indera Mahkota manakala 17 lagi di asrama Jabatan Kemas, Medan Tok Sira, Kuantan.

Katanya, operasi itu dilaksanakan bagi mengekang jangkitan Covid-19 dalam kalangan gelandangan.

“Pendekatan berhemah diambil terhadap golongan ini bagi mendapat persetujuan mereka menyertai program ini,” katanya dihubungi.

Beliau berkata, selain tempat penginapan dan pakaian, turut disediakan penutup hidung dan mulut serta pensanitasi tangan.

“Petugas sukarela akan mengendalikan urusan di penempatan sementara termasuk penyediaan makan dan minum serta ubat-ubatan melalui peruntukan yang disediakan MUIP.

“Mereka akan berada di asrama berkenaan sehingga tempoh Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) tamat,” katanya.

  • Lagi berita berkaitan perintah kawalan pergerakan
  • Artikel ini disiarkan pada : Sabtu, 11 April 2020 @ 3:38 PM