SEBAHAGIAN daripada lapan warga asing yang ditahan. FOTO POLIS MARIN
SEBAHAGIAN daripada lapan warga asing yang ditahan. FOTO POLIS MARIN
Oleh Hamzah Osman


LAPAN warga Thailand ditahan Pasukan Polis Marin (PPM) Wilayah 1 Langkawi di Selat Kuah, Langkawi hari ini kerana bekerja sebagai nelayan tanpa permit.

Tangkapan dalam Op Benteng Covid-19 pada jam 1 pagi itu membabitkan lelaki berusia 19 hingga 42 tahun.

Komander Polis Marin Wilayah 1, Asisten Komisioner Rosman Ismail berkata, bot ronda PPM terserempak sebuah bot nelayan mencurigakan tanpa memasang lampu pengenalan di Perairan Selat Kuah.

Katanya, bot berkenaan berjaya dipintas dan ditahan di kedudukan 39 batu nautika dari Pulau Bumbung Besar menghala ke sempadan perairan laut Malaysia-Thailand.

"Pemeriksaan mendapati tekong gagal mengemukakan lesen bot dan semua nelayan di atas bot terbabit gagal mengemukakan dokumen perjalanan diri yang sah.

"Anggota PPM turut merampas peralatan menangkap ikan serta hasil tangkapan ikan temenung seberat 800 kilogram," katanya dalam kenyataan hari ini.

Rosman berkata, nilai keseluruhan rampasan termasuk bot dianggarkan RM160,000.

"Semua warga asing itu dan barangan rampasan diserahkan kepada Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Langkawi untuk tindakan selanjutnya.

"Kes disiasat mengikut Seksyen 6(1)(c) Akta Imigresen 1959/63 kerana gagal mengemukakan sebarang dokumen perjalanan yang sah," katanya.

Artikel ini disiarkan pada : Selasa, 23 Jun 2020 @ 4:36 PM