BOT nelayan tempatan bersama empat nelayan warga Thailand ditahan di perairan Pulau Segantang. FOTO ihsan Polis Marin
BOT nelayan tempatan bersama empat nelayan warga Thailand ditahan di perairan Pulau Segantang. FOTO ihsan Polis Marin
Hamzah Osman / 11mei21


Langkawi: Empat nelayan warga asing ditahan bersama bot nelayan tempatan oleh Pasukan Polis Marin (PPM) di perairan Pulau Segantang di sini, semalam.

Komander Polis Marin Wilayah Satu, Asisten Komisioner Rosman Ismail berkata, penahanan itu dilakukan ketika bot ronda PPM melaksanakan 'Op Benteng Covid-19' pada 11.15 pagi.

Katanya, tindakan itu dilakukan selepas mengesan bot nelayan tempatan sedang menangkap ikan dalam keadaan mencurigakan.

"Pemeriksaan mendapati empat kru termasuk tekong warga Thailand berusia di antara 29 dan 49 tahun tidak mempunyai permit kerja sah.

"Kru terbabit dipercayai hanya menggunakan permit lawatan untuk bekerja di dalam negara," katanya dalam kenyataan di sini, hari ini.

Rosman berkata, semua warga asing bersama peralatan menangkap ikan dan bot dibawa balik ke Jeti PPM Wilayah Satu Langkawi di Bukit Malut.

"Kes disiasat mengikut Seksyen 39(b) Akta Imigresen 1963 dan Seksyen 8(b) Akta Perikanan 1985," katanya.

Artikel ini disiarkan pada : Selasa, 11 Mei 2021 @ 10:51 AM