ANTARA barangan yang dirampas daripada suspek. FOTO Ihsan PPM
ANTARA barangan yang dirampas daripada suspek. FOTO Ihsan PPM
Hamzah Osman


TAKTIK lelaki warga Thailand cuba menyeludup keluar pelbagai barangan kawalan dengan menyusun dan ditutup plastik dalam bot pancung gagal apabila ditahan di Langkawi, semalam.

Suspek berusia 42 tahun ditahan sepasukan anggota Pasukan Polis Marin (PPM) Wilayah Satu Langkawi di perairan Tanjung Dendang, pada 10 pagi.

Komander Polis Marin Wilayah Satu, Asisten Komisioner Rosman Ismail berkata, kesemua barangan itu dipercayai cuba diseludup keluar ke Thailand.

"Hasil pemeriksaan dalam bot menemukan pelbagai jenama rokok, ikan bilis dan ikan kering serta minyak masak, selain daun ketum seberat 300 gram.

"Nilai keseluruhan rampasan termasuk cukai rokok adalah RM12,668," katanya dalam satu kenyataan, hari ini.

Rosman berkata, pemeriksaan ke atas suspek yang juga warga Thailand mendapati dia tidak memiliki sebarang dokumen sah.

"Suspek dan barangan rampasan dibawa ke pangkalan PPM Langkawi di Bukit Malut sebelum diserahkan ke Ibu Pejabat Polis Daerah Langkawi.

"Kes disiasat bawah Akta Kastam 1967 kerana memiliki barang tidak berkastam dan Seksyen 30(3) Akta Racun 1952," katanya.

Artikel ini disiarkan pada : Jumaat, 8 Mei 2020 @ 10:27 AM