Tiung emas (kiri) dan murai gajah yang cuba diseludup keluar tiga suspek. FOTO Ihsan PPM.
Tiung emas (kiri) dan murai gajah yang cuba diseludup keluar tiga suspek. FOTO Ihsan PPM.
Hamzah Osman


TIGA lelaki Thailand ditahan kerana cuba menyeludup keluar burung tiung emas dan murai gajah di Teluk Yu, Langkawi, hari ini.

Mereka yang berusia 17 hingga 43 tahun ditahan Pasukan Polis Marin (PPM) Wilayah 1 Langkawi pada 1 pagi.

Komander PPM Wilayah Satu, Asisten Komisioner Rosman Ismail berkata, ketiga-tiga suspek ditahan menerusi Ops Landai dijalankan pihaknya.

“Sepasukan lima anggota mengesan tiga lelaki berada dalam keadaan mencurigakan di Jeti Lembaga Ikan Malaysia (LKIM) di Teluk Yu.

“Pemeriksaan mendapati mereka memiliki burung yang dilindungi tanpa permit sah dan cuba dibawa keluar,” katanya ketika dihubungi.

Rosman berkata, burung yang dirampas adalah seekor tiung emas dianggarkan bernilai RM800 dan tiga murai gajah bernilai RM700 berserta sangkar.

“Suspek dan burung dibawa ke Pejabat PPM Wilayah Satu di Bukit Malut untuk siasatan lanjut mengikut Akta Pemuliharaan Hidupan Liar 2010,” katanya.

Artikel ini disiarkan pada : Selasa, 21 January 2020 @ 4:56 PM