GEORGETOWN 26 MAC 2020. Tujuh lelaki ditahan pihak berkuasa semasa menjalankan Op Covid-19 di Pulau Tikus, dekat sini, kerana ingkar terhadap Perintah Larangan Pergerakan (PKP). FOTO IHSAN PEMBACA
GEORGETOWN 26 MAC 2020. Tujuh lelaki ditahan pihak berkuasa semasa menjalankan Op Covid-19 di Pulau Tikus, dekat sini, kerana ingkar terhadap Perintah Larangan Pergerakan (PKP). FOTO IHSAN PEMBACA
Audrey Dermawan


TUJUH lelaki yang bermain bola sepak dan joging di Padang Jalan DS Ramanathan di Pulau Tikus, Georgetown, semalam ditahan reman empat hari sehingga Isnin.

Perintah tahanan reman ke atas mereka yang berusia 23 hingga 56 tahun itu dikeluarkan Majistret Nur Azzuin Abdul Moati bermula hari ini.

Mereka ditahan petang semalam selepas melanggar peraturan Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) dengan enam daripadanya bermain bola sepak manakala, seorang lagi joging di kawasan padang itu.

Ketua Polis Daerah Timur Laut, Asisten Komisioner Soffian Santong berkata, sepasukan anggota termasuk Ketua Balai Polis Pulau Tikus yang meronda kawasan itu sempena operasi Covid 19 mengesan kumpulan lelaki berkenaan.

Katanya, mereka ditahan untuk siasatan mengikut Seksyen 269 Kanun Keseksaan dan Seksyen 7 (1) Peraturan-Peraturan Pencegahan dan Pengawalan Penyakit Berjangkit (Langkah-langkah Di Dalam Kawasan Tempatan Jangkitan) 2020.

Gambar dan video ketika polis menghampiri kumpulan lelaki itu dan menahan mereka tersebar di sosial media sejak semalam.

  • Lagi berita berkaitan perintah kawalan pergerakan
  • Artikel ini disiarkan pada : Jumaat, 27 Mac 2020 @ 2:07 PM