GAMBAR hiasan
GAMBAR hiasan
Audrey Dermawan


POLIS menahan 13 lelaki yang berparti sambil mabuk di di sebuah apartmen di Jalan Pangkor, Georgetown awal pagi hari ini.

Mereka ditahan kerana melanggar Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) dengan berkumpul selain mengabaikan langkah pencegahan Covid-19.

Ketua Polis Daerah Timur Laut Asisten Komisioner Soffian Santong berkata, pihaknya melakukan serbuan bermula 12.30 tengah malam selepas menerima maklumat awam.

“Serbuan oleh anggota yang melakukan rondaan sempena PKP dan menemui 13 lelaki berusia antara 19 hingga 26 tahun, semuanya bekerja di sektor swasta sedang berhibur sambil minum arak.

“Kita juga menemui dua botol minuman keras di premis itu dan semuanya ditahan kerana melanggar PKP,” katanya ketika dihubungi, hari ini.

Soffian berkata, siasatan awal mendapati unit apartmen itu disewa seorang daripada lelaki berkenaan pada kadar RM150 untuk sambutan hari lahirnya bersama rakan.

Menurutnya, mereka akan disiasat mengikut Seksyen 269 Kanun Keseksaan dan Peraturan 7 Peraturan-Peraturan PPPB (Langkah-Langkah Di Dalam Kawasan Tempatan Jangkitan) 2020.

“Mereka mengaku berhibur sambil mabuk dan kini direman sehari hingga esok,” katanya.

  • Lagi berita berkaitan perintah kawalan pergerakan
  • Artikel ini disiarkan pada : Rabu, 15 April 2020 @ 3:29 PM