Noorzainy Mohd Noor.
Noorzainy Mohd Noor.
Audrey Dermawan


Butterworth: Polis menjalankan siasatan terhadap Exco kerajaan negeri Soon Lip Chee selepas tular gambar menunjukkan beliau sedang menikmati makanan di Medan Selera Sin Tat Garden, di sini.

Ketua Polis Daerah Seberang Perai Utara Asisten Komisioner Noorzainy Mohd Noor berkata, siasatan dibuat berikutan Ahli Dewan Undangan Negeri (Adun) Bagan Jermal itu dipercayai gagal mematuhi prosedur operasi standard (SOP) Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) 3.0.

"Kita sudah memanggil beliau (Soon), pengusaha premis dan beberapa individu, hari ini untuk merekodkan kenyataan mereka berhubung perkara itu.

"Siasatan dibuat mengikut Akta Pencegahan dan Pengawalan Penyakit Berjangkit 1988 (Akta 342) dan Peraturan 17 (1), Peraturan-Peraturan Pencegahan dan Pengawalan Penyakit Berjangkit (Langkah-Langkah Di Dalam Kawasan Tempatan Jangkitan) 2021," katanya.

Noorzainy berkata, berdasarkan siasatan awal, Soon mendakwa beliau hadir untuk mempromosikan gerai di medan selera berkenaan pada 3 petang Ahad lalu, tetapi tidak makan seperti di dalam gambar yang tular itu.

"Beliau (Soon) memaklumkan hadir ke medan selera itu bagi 'bergambar' sedang menikmati makanan tanpa memakai pelitup muka. Ia sekadar 'aksi' sahaja dan beliau dakwa tidak makan di situ.

"Justeru, orang ramai diminta tidak membuat sebarang spekulasi berhubung perkara itu kerana polis sedang menjalankan siasatan lanjut," katanya.

Gambar Soon sedang menikmati makanan berkenaan tular di media sosial sejak semalam sekali gus menerima kecaman daripada warga net yang meminta pihak polis menjalankan siasatan.

Artikel ini disiarkan pada : Rabu, 26 Mei 2021 @ 4:43 PM