(kanan) ANGGOTA bomba memotong pokok tumbang di TTDI dan UM, Kuala Lumpur, akibat hujan lebat dan angin kuat, hari ini. (kiri) ANTARA kenderaan yang dihempap pokok tumbang dalam kejadian itu.  FOTO Ihsan Bomba
(kanan) ANGGOTA bomba memotong pokok tumbang di TTDI dan UM, Kuala Lumpur, akibat hujan lebat dan angin kuat, hari ini. (kiri) ANTARA kenderaan yang dihempap pokok tumbang dalam kejadian itu. FOTO Ihsan Bomba
Nurul Hidayah Bahaudin


Kuala Lumpur: Hujan lebat serta angin kuat menyebabkan beberapa pokok tumbang di sekitar Taman Tun Dr Ismail (TTDI) serta kawasan Universiti Malaya (UM), di sini, hari ini.

Jurucakap Pusat Gerakan Operasi Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia (JBPM) Kuala Lumpur berkata, pihaknya menerima beberapa panggilan kecemasan berhubung kejadian itu, petang tadi.

"Kami menerima maklumat pokok tumbang berhampiran sebuah stesen minyak di Jalan Klang Lama yang menghempap empat lori.

"Selain itu, kami juga menerima laporan kejadian sama di kolej kediaman di UM membabitkan pokok tumbang yang menghempap tiang elektrik dan menghalang laluan utama," katanya dalam kenyataan, hari ini.

Katanya, kejadian pokok tumbang turut dilaporkan berlaku di sebuah apartmen di TTDI yang menghalang laluan utama.

"Sebuah pokok juga dilaporkan tumbang di Jalan Long Yew Koh, TTDI, yang turut mengakibatkan laluan utama terhalang.

"Kesemua kejadian berkenaan tidak membabitkan mangsa.

"Kerja-kerja pembersihan dan pemotongan pokok tumbang sedang dijalankan bersama pihak Dewan Bandaraya Kuala Lumpur (DBKL)," katanya.

Sementara itu, Penolong Pengarah Bahagian Operasi JBPM Selangor Ahmad Mukhlis Mukhtar berkata, pihaknya menerima panggilan kecemasan berhubung pokok tumbang di Jalan Templer menuju ke Klang Lama jam 6.19 petang tadi.

"Dalam kejadian itu, sebatang pokok tumbang menghempap sebuah kereta, namun tiada mangsa dilaporkan cedera," katanya ketika dihubungi, hari ini.

Artikel ini disiarkan pada : Sabtu, 25 Mei 2024 @ 8:17 PM