Hayati Ibrahim


SATU pakej rangsangan ekonomi prihatin rakyat yang lebih menyeluruh akan diumumkan pada Jumaat ini.

Perdana Menteri Tan Sri Muhyiddin Yassin berkata, ia adalah tambahan kepada beberapa inisiatif yang diumumkan semalam dan hari ini untuk meringankan beban rakyat dalam menghadapi situasi kini yang sukar.

Katanya, pegawai di Kementerian Kewangan sedang bekerja bertungkus-lumus menyediakan satu pakej rangsangan ekonomi yang akan memberikan manfaat kepada semua.

“Sama ada anda pemandu teksi, pemandu grab, petani, pengusaha restoran, penjual nasi lemak, penjual goreng pisang, penjual burger, pekerja harian, kerajaan akan berusaha sedaya upaya untuk pastikan anda semua beroleh manfaat.

“Insya-Allah, ‘no one will be left behind’ (tiada rakyat yang akan dilupakan),” katanya.

Selain itu, katanya, beliau berharap pusat pungutan zakat di setiap negeri turut memainkan peranan secara lebih proaktif untuk membantu asnaf yang dipercayai sedang menghadapi keadaan hidup yang agak sukar pada masa ini.

Katanya, mungkin sebelum ini mereka tidak tersenarai sebagai asnaf, tetapi dalam keadaan ekonomi yang terjejas ketika ini, mereka menjadi golongan asnaf yang layak menerima bantuan zakat.

PERDANA Menteri, Tan Sri Muhyiddin Yassin. FOTO Mohd Fadli Hamzah
PERDANA Menteri, Tan Sri Muhyiddin Yassin. FOTO Mohd Fadli Hamzah

“Dalam mesyuarat kabinet hari ini, saya sudah mengarahkan Menteri Di Jabatan Perdana Menteri (Hal Ehwal Agama) untuk menggerakkan jentera Pusat Pungutan Zakat Wilayah Persekutuan bagi mengenal pasti golongan asnaf yang layak disalurkan bantuan zakat dengan kadar segera.

“Saya berharap pusat pungutan zakat di negeri-negeri lain juga dapat melakukan perkara yang sama.

“Organisasi kebajikan juga boleh memberi sumbangan kepada mereka yang memerlukan. Saya memanggil semua organisasi kebajikan di negara ini untuk membantu tanpa mengira agama dan bangsa pada saat sukar ini.

“Saya percaya anda semua boleh melakukan sesuatu yang amat bermakna untuk mengurangkan bebanan mereka,” katanya.

  • Lagi berita berkaitan perintah kawalan pergerakan

  • Lagi berita berkaitan Covid-19
  • Artikel ini disiarkan pada : Rabu, 25 Mac 2020 @ 2:57 PM