Raja Noraina Raja Rahim


Kuala Lumpur: "Secara peribadi saya juga mahukan PKP (Perintah Kawalan Pergerakan) 1.0 seperti sebelum ini. Semua sektor ekonomi tutup dan duduk di rumah itu terjamin selamat.

"Namun kesannya kepada ekonomi amat besar bukan sahaja wang ringgit tapi rakyat tiada pekerjaan dan tak boleh berniaga. Adakah keadaan sebegini kita nak bawa balik semula?," demikian kata Perdana Menteri Tan Sri Muhyiddin Yassin ketika menjawab desakan banyak pihak yang mahukan PKP 1.0 dilaksanakan semula selepas negara merekodkan jumlah kes jangkitan Covid-19 yang membimbangkan.

Beliau berkata, ketika pelaksanaan PKP 1.0 tahun lalu, kerajaan tiada pengalaman berdepan pandemik itu yang baru menyerang dunia.

Menurutnya, kerajaan perlu mempertimbangkan kehidupan dan cara hidup rakyat dalam membuat keputusan berhubung sekatan bagi memastikan keseimbangan.

"Jika dilaksanakan PKP 1.0 memberi kesan kepada ekonomi. Kalau ekonomi dah runtuh untuk bangunkan semula, saya terpaksa belanja RM340 bilion dengan enam pakej rangsangan.

"Bukan sedikit, tak pernah berlaku dalam sejarah apabila 20 peratus Keluaran Dalam Negara Kasar (KDNK) negara saya terpaksa gunakan, kena tolong rakyat dengan beri bantuan.

"Kalau kita buat lagi sekali (PKP 1.0), mungkin tidak cukup RM340 bilion sebaliknya mungkin setengah trilion," katanya.

Beliau berkata demikian dalam Bicara Khas Cabaran Pandemik Covid-19 yang disiarkan secara langsung di saluran RTM dan Bernama TV serta media sosial, hari ini.

TAN Sri Muhyiddin Yassin. FOTO BERNAMA
TAN Sri Muhyiddin Yassin. FOTO BERNAMA

Pada Jumaat lalu, mesyuarat Sidang Khas Majlis Keselamatan Negara: Pengurusan Covid-19 sebulat suara bersetuju mengetatkan lagi pelaksanaan PKP 3.0 yang sedang berkuatkuasa dengan penambahan sekatan yang lebih ketat ke atas sektor ekonomi dan sosial.

Susulan itu, Menteri Kanan (Keselamatan) Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob dalam sidang medianya semalam memperincikan mengenai sekatan lebih ketat itu antaranya waktu operasi perniagaan dihadkan dari 8 pagi hingga 8 malam.

Selain itu, sebanyak 80 peratus pekerja kerajaan dan 40 peratus pekerja di sektor swasta akan bekerja dari rumah manakala sistem pengangkutan awam dihadkan kepada 50 peratus kapasiti.

Aktiviti sosial, beriadah dan sukan pula termasuk majlis rasmi kerajaan tidak dibenarkan diadakan.

Sementara itu, berhubung kedudukan ekonomi Malaysia, Muhyiddin berkata, ia dijangka bertambah baik tahun ini, susulan langkah pemulihan yang sedang diambil kerajaan.

Menurutnya, biarpun pandemik Covid-19 belum berakhir, namun kerajaan sudah memulakan langkah untuk memacu semula ekonomi.

"Perancangan yang dilakukan sejak tahun lalu sudah melihatkan kesan apabila ekonomi meningkat 0.3 hingga 0.5 peratus ketika ini.

"Berdasarkan unjuran oleh badan antarabangsa dan Bank Negara Malaysia, pertumbuhan ekonomi dijangka mencapai 6.5 sehingga 7 peratus pada tahun ini.

"Insya-Allah ia akan tercapai sekiranya sebahagian besar rakyat mendapat suntikan vaksin seperti dijadualkan," katanya.

Mengenai sektor pelancongan yang terkesan teruk akibat pandemik itu, Muhyiddin memahami kesengsaraan yang dialami pemain industri terbabit dan kerajaan berusaha membantu mereka.

Beliau berkata, sektor pelancongan memerlukan masa antara tiga hingga empat tahun untuk pulih sepenuhnya dan sudah tentu bantuan kewangan yang diberikan kerajaan tidak mencukupi.

"Kerajaan berusaha membantu tapi kita tahu ia tidak memadai selagi pelancong tidak datang.

"Mengenai pembukaan sempadan, saya sudah mengadakan rundingan dengan Indonesia, Brunei, Singapura, China dan Thailand, tapi negara berkenaan juga berlaku peningkatan kes," katanya.

Justeru, katanya, kerajaan berusaha sedaya upaya untuk menyediakan bantuan sewajarnya kepada industri kecil dalam sektor berkenaan bagi memastikan tidak runtuh.

Artikel ini disiarkan pada : Ahad, 23 Mei 2021 @ 11:09 PM