Raja Noraina Raja Rahim dan Yusmizal Dolah Aling


Kuala Lumpur: "Alhamdulillah, cuba lihat saya, sihat dah bekerja seperti biasa.

"Makan macam biasa, selera pun seperti biasa," kata Perdana Menteri Tan Sri Muhyiddin Yassin selepas lima hari menerima suntikan vaksin Covid-19 Pfizer-BioNTech.

Muhyiddin menjadi rakyat pertama negara ini menerima suntikan vaksin itu di Malaysia yang disiarkan secara langsung menerusi pelbagai platform media termasuk di media sosial, bagi membolehkan rakyat mendapat gambaran sebenar dan menyeluruh Program Imunisasi Covid-19 Kebangsaan, pada 24 Februari lalu.

Menurutnya, vaksin berkenaan selamat kepadanya dan yakin ia juga selamat untuk semua.

Beliau turut merakamkan penghargaan kepada seluruh petugas barisan hadapan yang bekerja keras memastikan penularan wabak Covid-19 dapat dibendung.

"Saya ingin merakamkan setinggi-tinggi penghargaan kepada all the frontliners (semua petugas barisan hadapan) yang bekerja bertungkus lumus siang malam melindungi dan menyelamatkan kita semua daripada wabak Covid-19 sejak setahun lalu.

"Sebagai tanda sokongan kepada mereka, saya ingin mengajak anda semua supaya mendaftarkan diri di aplikasi MySejahtera untuk mengambil vaksin Covid-19 sebagai usaha kita bersama dalam memerangi wabak ini," katanya.

Beliau berkata demikian pada Majlis Amanat Perdana Setahun Malaysia Prihatin di Putrajaya, hari ini.

Muhyiddin menyeru semua rakyat Malaysia berdoa agar semua dilindungi daripada sebarang mudarat dan diberikan keamanan, keselamatan dan kesejahteraan yang berkekalan.

Perdana Menteri, Tan Sri Muhyiddin Yassin. FOTO BERNAMA
Perdana Menteri, Tan Sri Muhyiddin Yassin. FOTO BERNAMA

Artikel ini disiarkan pada : Isnin, 1 Mac 2021 @ 2:47 PM