Mahaizura Abd Malik
mahaizura@hmetro.com.my

Kuala Lumpur: Inisiatif MyDigital yang merangkumi Rangka Tindakan (Blueprint) Ekonomi Digital Malaysia dirangka khusus bagi memperbaiki taraf kehidupan rakyat negara ini dalam pelbagai aspek.

Ia merangkumi meningkatkan literasi digital, mewujudkan pekerjaan berpendapatan tinggi, menjadikan urusan perbankan dan kewangan dan lebih mudah dan teratur, memberikan akses pendidikan secara maya kepada anak-anak kita serta membawa kemudahan perubatan ke pekan terpencil.

Perdana Menteri Tan Sri Muhyiddin Yassin berkata, inisiatif ini juga suatu pelan halatuju transformasi digital yang mampu mengupayakan sektor perniagaan untuk bersaing di pentas global dengan memantapkan kelancaran dan kecekapan operasi mereka.

Katanya, MyDigital yang menjadi pelengkap kepada dasar pembangunan negara seperti Rancangan Malaysia Kedua Belas (RMKe-12) dan Wawasan Kemakmuran Bersama 2030 (WKB 2030) akan dilaksanakan membabitkan tiga fasa sehingga 2030.


"Menjelang 2025, ekonomi digital dijangka menyumbang 22.6 peratus kepada Keluaran Dalam Negara Kasar (KDNK) negara.

"Pada masa sama, pelan ini juga menyasarkan untuk membuka 500,000 peluang pekerjaan dalam ekonomi digital.

"Selain itu, kerajaan juga akan mengalakkan sebanyak 875, 000 perusahaan mikro, kecil dan sederhana menerima guna e-dagang," katanya pada Majlis Pelancaran MyDigital dan Rangka Tindakan Ekonomi Digital Malaysia secara maya di Pusat Konvensyen Kuala Lumpur, hari ini.

Turut hadir, Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Ekonomi),Datuk Seri Mustapa Mohamed; Menteri Menteri Komunikasi dan Multimedia, Datuk Saifuddin Abdullah serta Menteri Sains, Teknologi dan Inovasi, Khairy Jamaluddin Abu Bakar.

Beliau berkata, inisiatif di bawah naungan MyDigital ini juga dapat memangkinkan 5,000 syarikat peringkat permulaan atau startups dalam masa lima tahun akan datang.

"Inisiatif ini juga akan menjadi titik tolak untuk menarik pelaburan baru dalam sektor digital sebanyak RM70 bilion dari dalam dan luar negeri.

"Seterusnya, kerajaan menyasarkan tahap produktiviti sektor ekonomi meningkat 30 peratus lebih tinggi berbanding hari ini menjelang tahun 2030.

"Bagi sektor awam pula, semua agensi akan menyediakan kemudahan transaksi tanpa tunai sebagai pilihan utama menjelang tahun 2022." katanya.

Tan Sri Muhyiddin Yassin. FOTO Bernama
Tan Sri Muhyiddin Yassin. FOTO Bernama

Artikel ini disiarkan pada : Jumaat, 19 Februari 2021 @ 10:48 AM