GAMBAR Hiasan. FOTO Arkib NSTP
GAMBAR Hiasan. FOTO Arkib NSTP
Safuri Kamarudin.


RESTORAN KFC pekan Kuala Ketil di Baling dipecah masuk penjenayah semalam menyebabkan peralatan premis makanan segera itu rosak.

Ketua Polis Daerah Baling, Superintendan Syed Basri Syed Ali berkata, restoran itu dipercayai diceroboh lewat malam semalam selepas operasi ditutup 12 tengah malam.

Katanya, aduan yang dibuat Penolong Pengurus KFC, dia serta kakitangannya meninggalkan restoran itu 12 tengah malam dengan pintu hadapan dan belakang berkunci.

“Dalam aduan itu dia menyedari pintu kaca bahagian hadapan restoran itu ada kesan umpil ketika hendak masuk bertugas 8 pagi tadi.

“Selepas itu dia pergi ke belakang mendapati pintu terbuka luas dan mengesyaki restoran dipecah masuk,” katanya dalam kenyataan, hari ini.

Syed Basri berkata, selepas membuat pemeriksaan keadaan di dalamnya berselerak dan mengalami kerosakan.

“Bagaimanapun, tidak ada barangan berharga yang hilang. Tempat kejadian kawasan rumah kedai dua tingkat dan restoran berkenaan bersebelahan Bank Simpanan Nasional,” katanya.

Beliau berkata, suspek dipercayai memasuki melalui pintu hadapan dan keluar melalui pintu belakang.

“Kita menjalankan siasatan mengikut Seksyen 448 Kanun Keseksaan,” katanya.

Syed Basri meminta pemilik kedai mengunci premis mereka dengan baik bagi mengelakkan berlaku kecurian ketika Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) .

“Waktu ini penjenayah mengambil kesempatan untuk mencuri di mana-mana premis, bagaimanapun, anggota polis sentiasa membuat rondaan bagi menjaga keselamatan,” katanya.

Artikel ini disiarkan pada : Isnin, 23 Mac 2020 @ 8:08 PM