LELAKI Bangladesh yang ditahan selepas cuba menyogok anggota polis. FOTO Ihsan PDRM
LELAKI Bangladesh yang ditahan selepas cuba menyogok anggota polis. FOTO Ihsan PDRM
Nurul Hidayah Bahaudin


TINDAKAN lelaki warga Bangladesh cuba menyogok anggota polis mengundang padah apabila dia ditahan Bahagian Pencegahan Jenayah dan Keselamatan Komuniti (BPJKK) Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Hulu Selangor, semalam.

Ketua Polis Daerah Hulu Selangor Superintendan Arshad Kamaruddin berkata, suspek berusia 32 tahun itu datang ke pejabat berkenaan untuk berbincang mengenai penahanan rakannya berkaitan rokok seludup, 9.20 malam.

“Suspek cuba memberi anggota polis berkenaan sejumlah wang supaya rakannya dibebaskan walaupun sudah diberi amaran bahawa memberi rasuah adalah satu kesalahan.

“Bagaimanapun, suspek tetap berdegil dan mengeluarkan sejumlah wang dari poket seluarnya lalu diberikan kepada anggota polis berkenaan,” katanya dalam kenyataan, hari ini.

Arshad berkata, suspek kemudian ditahan dan pihaknya merampas wang tunai RM5,000.

“Polis memberi amaran kepada orang ramai supaya tidak terbabit dengan perbuatan menyogok pegawai atau anggota polis. Tindakan tegas akan dikenakan terhadap mereka yang melakukan perbuatan itu,” katanya.

Artikel ini disiarkan pada : Sabtu, 14 Mac 2020 @ 5:00 PM