RANTAI emas yang diletakkan dalam beret anggota polis di Sekatan Jalan Raya (SJR) di Plaza Tol Bukit Gambir oleh seorang lelaki warga Pakistan untuk suapan.
RANTAI emas yang diletakkan dalam beret anggota polis di Sekatan Jalan Raya (SJR) di Plaza Tol Bukit Gambir oleh seorang lelaki warga Pakistan untuk suapan.
Ahmad Ismail

Tangkak: Cubaan seorang lelaki warga Pakistan menyogok polis dengan memberikan rantai emas dan wang untuk merentas negeri mengundang padah apabila dia ditahan dalam sekatan jalan raya (SJR) di Plaza Tol Bukit Gambir di sini, awal pagi hari ini.

Ketua Polis Daerah Tangkak Superintendan Mohd Fadhil Minhat berkata, lelaki berusia 37 tahun yang memandu kereta Honda City ditahan ketika melalui SJR berkenaan pada 4.30 pagi.

Beliau berkata, pemeriksaan mendapati, suspek tidak mempunyai sebarang dokumen pengenalan diri serta surat kebenaran polis untuk merentas negeri.

"Suspek itu kemudian cuba memberi suapan seutas rantai emas, selain sejumlah wang namun tidak menyatakan jumlahnya kepada pegawai polis wanita berpangkat Inspektor berusia 30 tahun supaya melepaskannya.

"Anggota itu sudah memberi amaran beberapa kali kepada suspek, tetapi lelaki itu terus berdegil apabila meletakkan rantai emas bernilai RM2,100 ke dalam topi beret anggota itu di atas sebuah meja di khemah SJR sebelum ditahan," katanya ketika ditemui di Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Tangkak di sini, hari ini.

Mohd Fadhil berkata, suspek dipercayai dalam perjalanan memasuki negeri lain, namun siasatan lanjut masih dijalankan.

"Polis merampas rantai emas itu untuk membantu siasatan, suspek turut diarahkan menjalani saringan ujian air kencing.

"Kes disiasat mengikut Seksyen 6 (1) (c) Akta Imigresen 1959, Seksyen 269 Kanun Keseksaan dan Seksyen 214 kanun sama," katanya.

  • Lagi berita berkaitan Perintah Kawalan Pergerakan
  • Lagi berita berkaitan Covid-19
  • Artikel ini disiarkan pada : Sabtu, 6 Februari 2021 @ 5:49 PM