Redzuan Md Yusof ketika sidang media selepas mempengerusikan Mesyuarat Jawatankuasa Kerja Kluster Penyakit Coronavirus (COVID-19) di Putrajaya. FOTO MOHD FADLI HAMZAH
Redzuan Md Yusof ketika sidang media selepas mempengerusikan Mesyuarat Jawatankuasa Kerja Kluster Penyakit Coronavirus (COVID-19) di Putrajaya. FOTO MOHD FADLI HAMZAH
Rafidah Mat Ruzki


DENMARK menjadi negara keempat yang dikenakan sekatan perjalanan sepenuhnya oleh Malaysia selaras dengan perintah berkurung di negara itu, berkuatkuasa 14 Mac ini.

Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Tugas-tugas Khas), Datuk Seri Mohd Redzuan Md Yusof berkata, ia juga mengambil kira status semasa penularan Covid-19 di negara ini.

Katanya, sekatan perjalanan sepenuhnya itu adalah terhadap kesemua rakyat Denmark dan warga asing lain yang datang dari negara berkenaan daripada memasuki Malaysia atau transit di mana-mana pintu masuk.

“Rakyat Malaysia dinasihatkan supaya menangguhkan perjalanan ke Denmark sekiranya perjalanan berkenaan tidak mendesak atas faktor risiko mendapat jangkitan semasa berada di negara itu.

“Rakyat Malaysia, penduduk tetap dan pemegang pas jangka panjang yang tiba dari Denmark akan dikenakan perintah ‘home quarantine’ selama 14 hari,” katanya pada sidang media selepas mempengerusikan Mesyuarat Jawatankuasa Kerja COVID-19, di Bangunan Perdana Putra, di Putrajaya, hari ini.

Turut hadir, Ketua Pengarah Kesihatan, Datuk Dr Noor Hisham Abdullah dan Ketua Pengarah Agensi Pengurusan Bencana Negara (NADMA), Datuk Mohtar Mohd Abd Rahman.

Mohd Redzuan berkata, sekatan perjalanan sepenuhnya itu tidak dikuatkuasa serta-merta berikutan pihaknya perlu memaklumkan Kedutaan Denmark di Malaysia terlebih dahulu.

Katanya, mana-mana rakyat Denmark atau warga negara lain yang tiba di negara ini dari transit di negara ketiga, selepas berlepas dari negara terbabit, juga terbabit dengan sekatan itu.

Beliau berkata, sekatan perjalanan sepenuhnya itu sama dengan tindakan terhadap Iran, Itali dan Korea Selatan.

Semalam Perdana Menteri Denmark Mette Frederiksen, mengumumkan perintah berkurung berikutan peningkatan mendadak kes positif Covid-19 di mana setakat ini negara itu mencatat 514 kes dan 1,303 mangsa dikuarantin.

Sementara itu, Mohd Redzuan berkata, satu garis panduan prosedur operasi standard (SOP) Pencegahan Penularan Jangkitan Penyakit Coronavirus 2019 di Sekolah sudah dikeluarkan Kementerian Pendidikan Malaysia (KPM) untuk membantu pengurusan sekolah bawah kementerian itu termasuk sekolah swasta, akademi dan agama, sekolah antarabangsa dan sekolah ekspatriat yang berdaftar dengannya.

Beliau berkata, garis panduan itu menjelaskan langkah-langkah mengawal penularan penyakit Covid-19 termasuk mengendalikan warga sekolah yang terbabit dengan perjalanan ke negara-negara yang dikategorikan sebagai negara berisiko tinggi.

“Warga sekolah diminta untuk sentiasa melayari laman web KKM untuk mendapatkan perkembangan terkini jangkitan penyakit ini serta mendapatkan senarai terkini negara terjejas dengan wabak Covid-19 sebagai langkah berjaga-jaga,” katanya.

  • Lagi berita berkaitan Covid-19
  • Artikel ini disiarkan pada : Khamis, 12 Mac 2020 @ 8:56 PM