Mohd Rafi Mamat


Lipis: Pejabat Hutan Daerah (PHD) mematahkan cubaan memindahkan 132 tual balak pelbagai spesies bernilai hampir RM100,000 di Kompartmen Satu Hutan Simpan Benchah, di sini, semalam.

Pegawai PHD Lipis, Nor Shahrini Nordin Ahmad berkata, berdasarkan maklumat orang awam, pihaknya segera melakukan pemeriksaan di kawasan terbabit.

Menurutnya, pemeriksaan selama empat jam menemui tiga longgok balak pelbagai spesies yang sedia untuk dipindahkan namun difahamkan aktiviti membawa keluar balak terbabit tidak dapat dilakukan berikutan laluan utama yang ada tidak boleh dilalui.

Katanya, usaha memindahkan balak curi itu cuba berselindung di sebalik kawasan lesen pembalakan tanah persendirian seluas 11.745 hektar di Mukim Penjom yang tamat tempoh tahun lalu yang terletak bersebelahan dengan Hutan Simpan Benchah.

"Pemeriksaan dalam kawasan ceroboh Hutan Simpan Benchah menemui sebanyak 72 tunggul pokok spesies Merbau, Kembang Semangkuk, Mengkulang, Meranti, Sesenduk, Perah, Kempas, Kelat dan Keladan. Setiap pokok menghasilkan dua hingga tiga tual.

"Kita tidak menemui jentera digunakan untuk melakukan kegiatan itu, individu terbabit juga gagal dikesan kerana dipercayai sudah beberapa minggu meninggalkan lokasi berkenaan berikutan hujan berterusan di kawasan itu," katanya, dihubungi di sini hari ini.

Beliau berkata, operasi mengesan kegiatan itu turut disertai anggota Unit Penguatkuasaan (UPK) Zon Pahang Barat dan Unit Penguatkuasaan Negeri Pahang (UPNP).

Nor Shahrini berkata, pihaknya kini berusaha mengesan dalang kegiatan itu.

"Mereka yang terbabit dengan kegiatan itu boleh didakwa di bawah Akta Perhutanan Negara 1984 yang boleh membawa hukuman denda dan penjara atau kedua-duanya sekali," katanya.

ANGGOTA UPK Zon Pahang Barat memeriksa balak yang ditebang tanpa lesen di Kompartmen Satu Hutan Simpan Benchah. FOTO Mohd Rafi Mamat
ANGGOTA UPK Zon Pahang Barat memeriksa balak yang ditebang tanpa lesen di Kompartmen Satu Hutan Simpan Benchah. FOTO Mohd Rafi Mamat

Artikel ini disiarkan pada : Ahad, 14 Februari 2021 @ 11:58 AM