MASJID Sultan Salahuddin Sultan Badlishah di Pulai turut rosak akibat dilanda ribut dan hujan lebat. FOTO Ihsan pembaca
MASJID Sultan Salahuddin Sultan Badlishah di Pulai turut rosak akibat dilanda ribut dan hujan lebat. FOTO Ihsan pembaca
Safuri Kamarudin

Baling: Lebih 40 rumah rosak akibat dibadai ribut yang disusuli hujan lebat melanda tujuh mukim di sini, semalam.

Kejadian kira-kira jam 6.30 petang itu melanda Mukim Pulai, Kupang, Tawar, Siong, Bakai, Baling dan Teloi Kanan.

Pegawai Angkatan Pertahanan Awam Malaysia (APM) Baling, Kapten (PA) Rasidah Kassim, berkata kejadian kira-kira setengah jam bermula 6.30 petang itu menyebabkan bumbung rumah penduduk diterbangkan angin dan pokok tumbang.

"Bagaimanapun tiada kecederaan yang dilaporkan meskipun ada rumah penduduk dimasuki air akibat bumbung tercabut.

"Setakat ini tidak ada laporan kecederaan mangsa dalam kejadian itu," katanya dalam kenyataan hari ini.

Rasidah berkata, kos kerosakan dan jumlah rumah terbabit masih dalam siasatan penghulu mukim dan jabatan berkaitan serta Pengurusan Jawatankuasa Bencana Daerah.

Penghulu Mukim Pulai, Mohd Hazmir Md Isa berkata, peringkat awal semua mangsa menerima barangan makanan daripada Pejabat Ahli Parlimen Baling.

Beliau berkata, siasatan masih dilakukan supaya mangsa tidak tercicir menerima bantuan makanan dan mereka juga disaran membuat laporan polis ekoran kejadian itu.

"Kita meminta mangsa ribut tampil membuat laporan polis supaya bagi memudahkan bantuan sewajarnya disalurkan dengan segera," katanya.

Terdahulu, Jabatan Meteorologi Malaysia (MetMalaysia) mengeluarkan amaran hujan lebat dan ribut petir di beberapa negeri termasuk Kedah.

Artikel ini disiarkan pada : Isnin, 21 Februari 2022 @ 2:19 PM