ABDUL Azeez membantu memasang bumbung dengan plastik untuk sementara di rumah Halimah Hamad, di Kampung Sera Ulu, Pulai. FOTO SAFURI KAMARUDIN.
ABDUL Azeez membantu memasang bumbung dengan plastik untuk sementara di rumah Halimah Hamad, di Kampung Sera Ulu, Pulai. FOTO SAFURI KAMARUDIN.
Safuri Kamarudin


"WALAUPUN masih sedih dan terkejut dengan kejadian ribut, namun hati saya terubat juga apabila ada pihak yang prihatin tampil menghulur bantuan bagi meringankan beban."

Begitu kata Halimah Hamad, 75, apabila bumbung dapur rumahnya diterbangkan angin dalam kejadian ribut di Kampung Sera Ulu, Pulai, Baling, petang Khamis lalu.

Warga emas itu berkata, kejadian berlaku pada petang menyambut Ramadan ketika dia tinggal seorang diri di rumah kerana anak-anaknya keluar bekerja.

Menurutnya, dia berasa takut ketika kejadian kerana angin sangat kuat sehingga bumbung di bahagian dapur tercabut dan banyak perabot rosak terkena air hujan.

"Hujan dan angin kuat berlaku dalam sekelip mata sebelum bumbung di dapur tiba-tiba tercabut dan barang-barang keperluan untuk bersahur turut basah.

"Bagaimanapun, saya bersyukur kerana tidak ada kejadian buruk berlaku dan hati rasa terubat apabila ada pihak datang menjenguk dan memberi bantuan untuk kami," katanya.

Halimah berkata demikian ketika ditemui selepas menerima kunjungan Ahli Parlimen Baling, Datuk Seri Abdul Azeez Abdul Rahim di rumahnya, semalam.

Hadir sama, Penghulu Mukim Pulai/Kupang, Badrul Hisham Che Li.

Sementara itu, Badrul Hisham berkata, kejadian ribut itu menyebabkan 93 rumah dalam 17 kampung dalam Mukim Kupang dan Pulai mengalami kerosakan.

"Daripada jumlah itu, Mukim Pulai paling teruk dengan 71 rumah dibadai ribut berbanding Mukim Kupang hanya 22 rumah," katanya.

Artikel ini disiarkan pada : Sabtu, 25 April 2020 @ 6:10 PM