AZMAN (kiri) menunjukkan gambar dadah yang dirampas. FOTO Roselan Ab Malek.
AZMAN (kiri) menunjukkan gambar dadah yang dirampas. FOTO Roselan Ab Malek.
Roselan Ab Malek


WANITA yang baru dibebaskan dari penjara antara tiga yang ditahan di pusat rekreasi terkenal di Jerantut, Sabtu lalu kerana memiliki dadah.

Serbuan pada 1 tengah hari itu turut menahan seorang lelaki dan seorang lagi wanita berusia antara 26 hingga 32 tahun.

Timbalan Ketua Polis daerah, Deputi Superintendan Azman Mat Kamis berkata, turut dirampas dadah bernilai RM2,500.

Katanya, ketiga-tiganya ditahan sepasukan pegawai dan anggota Jabatan Siasatan Jenayah Narkotik (JSJN), hasil maklumat dan risikan.

“Suspek yang menaiki kereta Proton Perdana warna merah jambu berada dalam keadaan mencurigakan di kawasan tempat letak kenderaan, sebelum ditahan.

“Hasil pemeriksaan, polis merampas masing-masing empat paket plastik lutsinar mengandungi syabu seberat anggaran 4.71 gram dan heroin anggaran 44.75 gram,” katanya pada sidang media di Ibu Pejabat Polis Daerah Jerantut hari ini.

“Ketiga-tiga suspek disiasat mengikut Seksyen 39B Akta Dadah Berbahaya 1952, jika sabit kesalahan boleh dihukum gantung mandatori sampai mati.

“Kesemua suspek direman tujuh hari sehingga Sabtu ini dan ujian saringan air kencing mendapati kesemua suspek positif methamphetamine,” katanya.

Beliau berkata, hasil soal siasat mendapati suspek lelaki tidak mempunyai rekod kesalahan lampau dan baru sebulan terbabit aktiviti pengedaran dadah di sekitar daerah Jerantut .

“Sementara, dua suspek wanita mempunyai rekod jenayah lampau berkaitan dadah di bawah Seksyen 39A(1) ADB 1952, Seksyen 12 (2) ADB 1952 dan Seksyen 15( 1)( a) ADB 1952.

“Seorang daripada suspek wanita baru dibebaskan dari penjara kerana dikenakan Perintah di bawah Langkah-Langkah Pencegahan Khas ( LLPK) 1983 selama dua tahun,” katanya.

Artikel ini disiarkan pada : Rabu, 11 Mac 2020 @ 6:45 PM