PAKET yang dirampas polis. FOTO ihsan Polis
PAKET yang dirampas polis. FOTO ihsan Polis
Muhaamad Hafis Nawawi


Ampang Jaya: Penjawat awam ditahan polis kerana memiliki dadah di Pandan Jaya, di sini, hari ini.

Ketua Polis Daerah Ampang Jaya, Asisten Komisioner Mohamad Farouk Eshak berkata, lelaki berusia 37 tahun terbabit ditahan di tepi jalan pada 3.50 pagi oleh sepasukan polis dari Balai Polis Pandan Indah.

Menurutnya, suspek ditahan oleh Team Task Force Pencegahan Jenayah Balai Polis Pandan Indah yang sedang melakukan rondaan cegah jenayah dan pemeriksaan lanjut menjumpai lima paket dadah jenis syabu seberat 6.95 gram dan satu paket dadah jenis ganja seberat 3.46 gram.

"Semakan pihak polis mendapati suspek mempunyai dua rekod jenayah lampau berkaitan kes dadah namun tiada dalam senarai individu dikehendaki polis.

"Individu terbabit turut diuji positif dadah jenis methamphetamine dan amphetamine hasil ujian saringan air kencing yang dijalankan," katanya dalam kenyataan, hari ini.

Beliau berkata, kes disiasat mengikut Seksyen 39A(1) Akta Dadah Berbahaya (ADB) 1952, Seksyen 6 ADB 1952 dan Seksyen 15(1)(a) ADB 1952.

Artikel ini disiarkan pada : Rabu, 17 Ogos 2022 @ 1:47 PM