DADAH yang dirampas daripada suspek. FOTO ihsan polis
DADAH yang dirampas daripada suspek. FOTO ihsan polis
Zuliaty Zulkiffli


SEORANG pengedar dadah yang mempunyai rekod 16 kali ditahan polis tidak serik malah ditahan sekali lagi kerana terbabit dengan dadah.

Lelaki berusia 28 tahun itu ditahan bersama remaja lelaki berusia 17 tahun dalam serbuan di hadapan hotel bajet di Padang Serai, Lunas, Kulim, pada 11.45 pagi hari ini.

Serbuan dilakukan oleh pasukan Bahagian Siasatan Jenayah, Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Kulim ketika melakukan pemeriksaan Ops Tebuk.

Ketua Polis Daerah Kulim, Superintendan Azhar Hashim berkata, hasil pemeriksaan yang dilakukan mendapati dua suspek itu memiliki dadah jenis heroin anggaran berat berat 45 gram dan syabu anggaran anggaran lapan gram yang ditemui dalam beg.

Beliau berkata, suspek pertama tidak bekerja dan menetap di Jalan Padang Serai manakala remaja lelaki yang tidak bersekolah itu beralamat di Padang Besar, Perlis.

"Ujian saringan awal air kencing mendapati mereka positif dadah jenis methapetamine.

"Suspek pertama pernah lapan kali ditahan mengikut Seksyen 15(1)(a) Akta Dadah Berbahaya (ADB) 1952, tiga kali mengikut Seksyen 12(2) ADB 1952, dua kali di bawah Seksyen 379A Kanun Keseksaan, dan masing-masing satu kali mengikut Seksyen 39A(2) ADB 1952, Seksyen 30(3) Akta Racun 1952 dan Seksyen 3(1) Akta Penagih Dadah (APD)," katanya dalam satu kenyataan hari ini.

Azhar berkata, suspek kedua tidak mempunyai rekod jenayah atau dadah sebelum ini.

Beliau berkata, suspek pertama dipercayai terbabit dengan dadah sejak 2009 hingga sekarang manakala suspek kedua pula sejak awal tahun ini.

"Anggaran nilai dadah yang dirampas adalah sebanyak RM3,500 dan kedua-dua lelaki itu ditahan di Balai Polis Kulim dan akan direman esok.

"Kes disiasat mengikut Seksyen 39B ADB 1952 dan Seksyen 39(A)(1) ADB 1952," katanya.

Artikel ini disiarkan pada : Selasa, 1 September 2020 @ 10:20 PM