DADAH yang dirampas dari dua lelaki di Kilometer 20, Jalan Lukut-Sepang, Port Dickson. FOTO Ihsan PDRM
DADAH yang dirampas dari dua lelaki di Kilometer 20, Jalan Lukut-Sepang, Port Dickson. FOTO Ihsan PDRM
Mohd Khidir Zakaria

Port Dickson: Polis menahan dua lelaki dan merampas syabu serta ganja bernilai RM1,350 di Kilometer 20, Jalan Lukut-Sepang, dekat sini, semalam.

Lelaki berusia 28 dan 34 tahun ditahan anggota MPV Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Port Dickson selepas didapati berada dalam keadaan mencurigakan ketika memandu Proton Wira pada 3.30 pagi.

Ketua Polis Daerah Port Dickson, Superintendan Aidi Sham Mohamed berkata, anggota peronda mengarahkan suspek supaya berhenti untuk pemeriksaan badan dan kenderaan dinaiki.

"Hasil pemeriksaan polis merampas tiga paket plastik lutsinar berisi ketulan mampat disyaki ganja anggaran berat 20.95 gram dan satu paket plastik lutsinar mengandungi serbuk kristal dadah jenis syabu anggaran berat 2.5 gram," katanya dalam kenyataan di sini, hari ini.

Aidi Sham berkata, pemeriksaan air kencing terhadap kedua-dua suspek didapati positif dadah jenis ganja.

Katanya, mereka juga mempunyai rekod lampau dan dipercayai penagih tegar berdasarkan rekod PDRM atas pelbagai jenayah.

"Suspek pertama berusia 34 tahun pernah didakwa mengikut Seksyen 379A(1) Kanun Keseksaan (KK); Seksyen 326 KK; Seksyen 15(1)(a) Akta Dadah Berbahaya (ADB); Seksyen 12(2) ADB dan Seksyen 12(3) ADB.

"Sementara rakannya berusia 28 tahun pernah didakwa mengikut Seksyen 15(1)(a) ADB (dikehendaki); Seksyen 12(2) ADB, Seksyen 447 KK; Seksyen 457 KK dan Seksyen 326 KK," katanya.

Menurutnya, kedua-dua lelaki itu ditahan mengikut Seksyen 12 (2)/6 ADB 1952, dan mereka kini direman selama empat hari sehingga 17 November untuk siasatan lanjut.

Artikel ini disiarkan pada : Ahad, 15 November 2020 @ 1:54 PM