Mohamad Azim Fitri Abd Aziz


KANAK-kanak lelaki parah selepas diserang kera di kedai makan di Lebuhraya Muadzam Shah, Rompin, Khamis lalu.

Dalam kejadian 3.30 petang itu, mangsa, Syed Nur Akif Rizqi Syed Ahmad, 3, cedera di kedua bahagian kaki, kepala dan belakang badan.

Mangsa dikatakan digigit haiwan itu ketika sedang menonton video di telefon bimbit sebelum kejadian disedari ibunya yang bertindak menghalau kera itu.

Difahamkan ketika kejadian ibu mangsa sedang mengambil makanan untuk anak lelakinya di dapur sebelum mendengar jeritan mangsa.

Ketua Polis Daerah Rompin, Deputi Superintendan Azari Miskun berkata, berdasarkan laporan diterima, kanak-kanak itu digigit kera yang sering berkeliaran di kawasan kedai makan itu.

“Mangsa kini dirawat di Hospital Segamat dan dilaporkan stabil.

“Kejadian juga sudah dimaklumkan kepada Jabatan Perlindungan Hidupan Liar dan Taman Negara (PERHILITAN) untuk tindakan lanjut,” katanya dalam kenyataan hari ini.

KEADAAN kanak-kanak yang digigit kera. FOTO Ihsan Pembaca
KEADAAN kanak-kanak yang digigit kera. FOTO Ihsan Pembaca

Azari berkata, bertindak atas laporan dibuat, PERHILITAN menjalankan operasi dengan mengesan kera itu sebelum haiwan itu berjaya ditangkap.

Sementara itu, Pengarah PERHILITAN Pahang, Rozidan Md Yasin berkata, kera itu berjaya ditangkap Jumaat lalu.

Beliau turut menasihatkan orang ramai lebih berwaspada dengan tidak memberi makanan kepada kera.

“Tabiat memberi makanan kepada kera akan menjadikan haiwan itu bergantung kepada manusia. Jika terdapat halangan untuk mendapatkan makanan ia berpotensi untuk merampas dan mencederakan orang yang menghalang.

“Kanak-kanak yang biasanya kerap menjadi sasaran serangan kera. Saya minta ibu bapa atau orang yang lebih dewasa mengawasi anak-anak mereka dan elak berada di kawasan persekitaran terdapat kera,” katanya.

Artikel ini disiarkan pada : Isnin, 6 January 2020 @ 12:29 PM