LORI tangki membawa muatan 35,000 liter minyak kelapa sawit terbakar selepas terbabas di Jalan Pekeliling. FOTO IHSAN BOMBA
LORI tangki membawa muatan 35,000 liter minyak kelapa sawit terbakar selepas terbabas di Jalan Pekeliling. FOTO IHSAN BOMBA
Nurul Amanina Suhaini


SEBUAH lori tangki membawa muatan 35,000 liter minyak kelapa sawit terbakar selepas terbabas di Jalan Pekeliling di sini, hari ini.

Komander Operasi Balai Bomba dan Penyelamat (BBP) Pasir Gudang, Pegawai Bomba Kanan I Shahrudin Saari berkata, kejadian kira-kira jam 12.15 tengah hari itu turut menyebabkan pemandu berusia 62 tahun cedera.

Katanya, Pusat Gerakan Operasi Johor menerima panggilan kecemasan menerusi talian MERS 999 kira-kira jam 12.21 tengah hari.

Katanya, sejurus menerima panggilan kecemasan, pihaknya menggerakkan 13 anggota bersama dua jentera ke lokasi kejadian.

“Setibanya ke lokasi kejadian mendapati kebakaran membabitkan sebuah lori tangki terbakar hampir 70 peratus.

“Pemandu yang cedera di badan akibat kemalangan itu dikeluarkan oleh orang awam dan dihantar ke hospital berdekatan dengan ambulans,” katanya ketika dihubungi.

Katanya, pihak syarikat lori tangki terbabit melakukan pembersihan tumpahan minyak serbuk soda selepas api dipadamkan sepenuhnya oleh bomba dan operasi ditamatkan pada jam 3.29 petang.

Artikel ini disiarkan pada : Isnin, 9 Mac 2020 @ 7:33 PM