Michael Tong Wai Siong (tengah) bersama pekerja yang menghidap Autism, Syakir (kanan) dan Faris Nasrudin. FOTO EFFENDY RASHID
Michael Tong Wai Siong (tengah) bersama pekerja yang menghidap Autism, Syakir (kanan) dan Faris Nasrudin. FOTO EFFENDY RASHID
Noor Hidayah Tanzizi


Kajang: Menghidap autisme bukan penghalang kepada dua pemuda ini untuk menimba ilmu dan bekerja dalam bidang bakeri sekali gus dapat mengembangkan kemahiran berkomunikasi dengan masyarakat sekeliling.

Syakir 'Alimi Tajul Ariffin, 28, dan rakan, Muhammad Faris Nasrudin, 22, mengakui kekurangan diri bukan penghalang melakukan aktiviti diminati dan bekerja dengan baik.

Berkongsi kisahnya, Syakir 'Alimi berkata, dia sudah lebih setahun bekerja di kafe bakeri dan kopi di Medan Sate Kajang, di sini, dan mengakui peluang diberikan majikan itu sekali gus dapat meningkatkan kemahiran dirinya.

Menurutnya, selepas menamatkan pengajian di sebuah institut kemahiran, dia mulanya bimbang jika tiada majikan yang sudi mengambilnya bekerja kerana status dirinya.

"Saya tak anggap status sebagai penghalang untuk bekerja seperti orang lain. Pada mulanya rasa agak kurang yakin untuk bercakap dengan pelanggan tetapi saya mahu cabar diri untuk melakukannya.

"Keluarga juga selalu sokong saya dan sekarang saya sudah boleh menghasilkan roti dan air kopi mengikut tempahan pelanggan," katanya menetap di Taman Universiti, Bangi ketika ditemui.

Muhammad Faris berkata, dia berharap lebih ramai komuniti sepertinya menerima peluang sama seperti mereka kerana ia membantu golongan austisme menunjukkan kemahiran diri.

Katanya, biarpun mempunyai keyakinan dia boleh melakukan kerja tetapi dia tetap merasai rasa segan dan kurang yakin berkomunikasi dengan pelanggan.

"Saya bersyukur sekarang sudah ramai juga majikan yang sudi menggajikan orang kurang upaya (OKU) dan sebagai anak saya juga mahu berbakti dengan ibu bapa jadi apabila dapat kerja memang seronok.

"Sebab itu saya mahu cabar diri untuk berkomunikasi dengan pelanggan dan kini sudah boleh ambil tempahan pelanggan dan hantar dengan baik.

"Saya ambil masa empat bulan nak biasakan bercakap dengan pelanggan," katanya yang minat berniaga dan bakeri.

Menurutnya, persekitaran yang baik dan tiada diskriminasi membantunya menjalani cara kerja yang mudah biarpun ia mengambil sedikit masa untuknya menyesuaikan diri terutama dalam komunikasi.

Sementara itu, pengasas kafe De Ayen Coffee Michael Tong Wai Siong berkata, golongan OKU termasuk autisme mempunyai kemahiran yang boleh digilap serta diberi ruang dan kepercayaan untuk berdikari.

Katanya mempunyai empat pekerja berstatus OKU termasuk autisme, peluang pekerjaan diberikan secara tidak langsung memperkasakan komuniti itu dengan kemahiran dan perniagaan selain ibu bapa juga perlu memberi kepercayaan kepada anak.

"Saya percaya seiring perkembangan teknologi, golongan muda kini perlu dipupuk dengan kemahiran yang relevan supaya mereka boleh berdikari.

"Secara tidak langsung mewujudkan peluang saksama dalam pekerjaan bagi membolehkan golongan autisme maju sebagai insan berdikari yang boleh menyumbang sebagai masyarakat produktif, " katanya.

Artikel ini disiarkan pada : Selasa, 9 Julai 2024 @ 12:03 PM