PEMAIN Sri Pahang FC menjalani Latihan di padang Taman Gelora, Kuantan. FOTO Sri Pahang FC
PEMAIN Sri Pahang FC menjalani Latihan di padang Taman Gelora, Kuantan. FOTO Sri Pahang FC
Asrol Awang


Kuantan: Kurang keyakinan menyebabkan tidak banyak jaringan dapat dilakukan Sri Pahang FC selepas mengharungi empat perlawanan, termasuk satu perlawanan dalam saingan Piala FA.

Pengendali Tok Gajah, Fandi Ahmad berkata, situasi itu menyebabkan skuad itu tidak mendapat keputusan yang meyakinkan untuk meletakkan Sri Pahang pada prestasi terbaik.

"Pemain agak kurang yakin dengan penyudahan individu kerana peluang memang ada tetapi penyudah tidak tepat menyebabkan Sri Pahang tidak dapat memberi tekanan kepada lawan.

"Atas faktor itu tempoh tiga minggu tanpa perlawanan dimanfaatkan sebaik mungkin untuk memastikan jentera serangan lebih padu pada perlawanan akan datang," katanya.

Ditanya tempoh rehat panjang tampa perlawanan, Fandi mengakui situasi itu mengganggu rentak permainan skuad itu apabila kembali beraksi pada Sabtu ini.

Katanya, situasi itu memerlukan anak buahnya mengekal dan meningkatkan prestasi terbaik terutama daripada segi tahap kecergasan.

"Sudah pasti ia mengganggu terutama tempoh panjang tanpa perlawanan yang memerlukan semua pemain bekerja keras untuk meletakkan pasukan bersedia memberikan persembahan meyakinkan apabila kembali beraksi Sabtu ini.

Selepas tiga perlawanan, Sri Pahang berada di kedudukan ketujuh Liga Super dengan mengutip empat mata.

Artikel ini disiarkan pada : Selasa, 9 Julai 2024 @ 12:50 PM