FOTO HIASAN
FOTO HIASAN
Oleh Noor Hidayah Tanzizi


Kuala Lumpur: Setiap suami isteri pastinya menginginkan cahaya mata sebagai penyeri rumah tangga, malah kehadiran zuriat itu juga dianggap membawa rezeki untuk ibu bapa.

Namun peredaran zaman dan perubahan pemikiran ketika ini ada segelintir pasangan terutama dalam kalangan orang muda memilih kehidupan berdua tanpa anak atau 'child free' atas beberapa faktor.

Ironinya, trend itu boleh disifatkan sebagai bertentangan dengan tujuan utama perkahwinan sekali gus tidak bertepatan dengan sunnah Rasulullah SAW.

Trend itu didorong beberapa faktor seperti ekonomi, isu kesihatan termasuk mental, kebebasan tanpa komitmen, belum bersedia memikul tanggungjawab menjaga dan mendidik anak selain pembangunan kerjaya serta kesibukan kerja. Ikuti laporan wartawan Noor Hidayah Tanzizi.

Serabut kalau ada anak

Pasangan ini memilih 'child free' selama hampir 10 tahun untuk fokus kepada kerjaya selain faktor pasangan jarak jauh.

Sofie (bukan nama sebenar), 30-an dan suami yang masing-masing bekerja dalam bidang kesihatan memilih untuk tiada anak sepanjang tempoh itu bagi memberi ruang kepada diri fokus kepada kerjaya masing-masing selain mahu mengejar impian menyambung pelajaran di peringkat lebih tinggi.

Namun kini selepas semua impian tercapai dan dia mahu memiliki anak pertama mereka serta sudah hamil lapan minggu.

Berkongsi kisahnya, Sofie berkata, pada usia perkahwinannya masuk tahun ke lima, dia dan suami tinggal berjauhan atas tuntutan kerjaya masing-masing menjadikan mereka terus kekal dengan 'mod' tanpa anak.

"Kami masing-masing jauh daripada keluarga jadi kalau jadi apa-apa tiada siapa yang boleh membantu dan kami juga mahu fokus kerjaya dan belajar dahulu.

"Selain itu kami juga pasangan yang suka mengembara ke luar negara antara tiga hingga empat kali setahun dan agak sukar kalau ada anak. Secara peribadi juga suami tiada rasa untuk ada anak sendiri mungkin kerana kerjanya dikelilingi kanak-kanak sakit membuatkan dia rasa sedih atau risau.

"Bagi suami kalau mahu anak kami boleh bantu anak yatim dan jadikan sebagai anak angkat. Kami juga akan luangkan masa dengan anak saudara," katanya kepada Harian Metro.

Katanya, biarpun mereka tidak pernah berbincang mengenai perkara itu sebelum berkahwin namun tidak pernah berasa terburu-buru untuk mempunyai anak sendiri.

"Tidak dinafikan memang senang dengan kehidupan tanpa anak ini kerana tiada tanggungan atau tanggungjawab tetapi kadang-kadang tertekan juga (pandangan orang) walaupun setakat ini tiada yang persoalkan kami tiada anak secara berdepan kecuali seorang saja ahli keluarga terdekat.

"Dengar juga 'bunyi' daripada beberapa ahli keluarga tetapi kami jarang balik kampung kerana jarak dan kekangan masa serta mengamalkan prinsip privasi. Apa-apa pun kami hanya abaikan saja anggapan orang," katanya.

Menurutnya, dia tidak pernah bercerita perkara berkenaan kerana baginya ia tidak perlu dihebohkan biarpun mengakui mungkin ada beranggapan salah seorang daripada mereka mempunyai masalah kesihatan.

"Orang memang tak tahu kami memilih hidup tanpa anak selama 10 tahun dan beranggapan saya atau suami tak subur dan kami anggap lebih baik mereka fikir begitu daripada sengaja elak kehamilan," katanya.

Sofie berkata, baginya keputusan itu tidak salah daripada segi agama dan mengakui tidak mahu membesarkan anak sendirian sementara suami berada jauh daripada mereka.

"Sepanjang tempoh hidup tanpa anak, kami rasa banyak masa untuk diri sendiri, banyak duit lebih untuk diri sendiri, mudah bergerak dan kurang cuti kerana urusan keluarga cuma terpaksa berdepan dengan tanggapan orang dan kadang-kadang rasa cemburu juga bila ramai kawan sudah ada anak," katanya.

Katanya, selepas berjaya mencapai impian dan kerjaya serta kembali tinggal bersama suami, mereka memutuskan untuk mempunyai anak kerana baginya masa yang sesuai sudah tiba.

'Saya enjoy, hidup gembira berdua dengan suami'

Ada yang berpendirian bahawa perkahwinan adalah perkongsian antara suami isteri dan tanpa anak hubungan itu tetap boleh bahagia serta menganggap kehadiran cahaya mata juga akan membebankan kehidupan.

Itu antara alasan Delina (bukan nama sebenar), 20-an yang memilih perkahwinan tanpa anak atau child free sehingga tiba masa yang sesuai.

Wanita bekerja dalam bidang kewangan itu berkata, dia memilih untuk tidak memiliki anak kerana menganggap cahaya mata sebagai pihak ketiga yang dibimbangi akan membuatnya terbeban bukan saja ekonomi, malah emosi.

Menurutnya, dia mahu menjalani kehidupan bersama suami dengan tenang dan gembira, malah mengakui tuntutan kerja juga menjadi faktor dia memilih tidak mempunyai anak kerana bimbang tidak dapat memberi perhatian sepenuhnya.

"Saya takut kami suami isteri akan bergaduh setiap hari kerana terbeban dengan emosi apabila kita yang seharian penat bekerja rasa dibebani pula di rumah kerana kadang-kadang kami masih perlu bekerja di rumah.

"Sebelum kahwin lagi kami sudah bincangkan perkara ini dan kami saling menyayangi serta memahami, jadi kami bersetuju untuk tidak memiliki anak," katanya yang berkahwin dengan lelaki bekerja dalam bidang teknologi maklumat.

Katanya, meskipun mempunyai kerjaya dan pendapatan yang baik namun dia mengakui kos penjagaan anak ketika ini agak besar termasuk keperluan menyediakan insurans dan baginya itu juga membebankan dalam situasi ekonomi ketika ini.

Dia yang pernah melalui pengalaman terasa diabaikan tanpa kasih sayang bapa yang bersikap garang mengakui tidak mahu anak mengalami nasib sama dan kurang mendapat perhatian kerana dia dan suami masing-masing sibuk.

"Saya mahu hidup berdua dengan suami dan yang penting apa tujuan perkahwinan, mahu bahagia suami isteri kenapa perlu ada pihak ketiga. Saya nak enjoy dan hidup gembira.

"Apabila ada anak masa berdua akan terganggu jadi setakat ini saya memang memilih untuk child free walaupun keluarga membantah," katanya.

'Jangan normalisasikan trend barat'

Artikel ini disiarkan pada : Selasa, 9 Julai 2024 @ 12:01 PM