Amy (kiri) bersama suami dan jemaah yang menunaikan haji di Makkah. Foto IG Amy Mastura
Amy (kiri) bersama suami dan jemaah yang menunaikan haji di Makkah. Foto IG Amy Mastura
Ridzuan Abdul Rahman


Kuala Lumpur: Penyanyi dan pelakon, Amy Mastura melahirkan kesyukuran selepas berjaya mengerjakan haji bersama suami, Alvin Tham Suffian serta dua anak mereka, Adriana dan Adalia pada tahun ini.

Amy, 53, yang berlepas ke Arab Saudi pada 6 Jun dan pulang ke tanah air pada Khamis lalu berkata, dia sudah lama merancang, namun baru kali ini impian dimakbulkan oleh Allah.

"Saya pergi di bawah kendalian Eiman Travel & Tours Sdn Bhd. Saya mendaftar pada hujung tahun lepas. Diikutkan tiap-tiap tahun saya cari jalan macam mana nak pergi.

"Memang saya ada masa untuk pergi haji tapi tiada rezeki sebab tak dapat visa. Saya percaya perkara ini bergantung kepada rezeki juga. Saya berpegang kepada itu sahaja.

"Saya mencuba tapi berpegang pada rezeki juga. Kalau ada, adalah. Bukan apa, takut juga kerana ada yang mampu tapi gagal pergi kerana pelbagai masalah," katanya kepada Harian Metro.

Menurutnya, apabila mendengar berita permohonannya diterima, dia seakan tidak percaya.

"Sehinggakan saya berkata-kata dengan diri sendiri, betulkah? Saya takut saat akhir tak betul. Perasaan saya amat gemuruh sepanjang buat haji sehinggalah apabila selesai baru rasa lega. Baru terbit keyakinan Allah jemput kami.

"Sebelum itu saya tak tahu sama ada boleh atau tidak melaksanakannya. Kita takut sebab apa-apa pun bukan 'di tangan' kita. Rombongan saya sekitar 30 orang tapi kami dibimbing oleh ramai mutawif.

"Melihatkan keadaan orang yang begitu ramai, kami faham kadang-kadang perancangan terpaksa ditukar. Tapi alhamdulillah mereka bijak. Kalau tak boleh cara itu kena ikut cara ini. Mereka bijak mengatur langkah," katanya.

Ditanya dugaan yang dihadapi sepanjang di sana, Amy berkata ia perkara biasa apabila berdepan dengan ramai orang serta cuaca panas.

"Tapi kita kena pergi dengan iman. Semua yang positif dihimpun sekali baru betul apabila ke sana. Sakit itu ada sikit-sikit tapi alhamdulillah okey. Anak-anak pun okey. Kita kena reda dan anggap ia ujian.

"Di sana tolak dunia ketepi buat seketika. Kalau ada rezeki memang saya nak pergi lagi. Saya bertuah kerana rombongan ini turut disertai oleh Ustaz Zawawi Yusof yang juga pemilik Eiman Travel dan Ustaz Wadi Anuar.

"Mereka memang hebat. Ada ketika keadaan kusut tapi mereka sangat tenang," katanya yang berehat sehingga hujung bulan ini sebelum aktif semula dalam seni.

Artikel ini disiarkan pada : Selasa, 9 Julai 2024 @ 1:01 PM