TOPENG muka silikon semakin mendapat permintaan di China. FOTO Agensi.
TOPENG muka silikon semakin mendapat permintaan di China. FOTO Agensi.
Agensi

Beijing: Anda boleh menjadi siapa sahaja dengan hanya satu klik pembelian topeng silikon di laman e-dagang di China yang harganya boleh mencecah 25,000 yuan (kira-kira RM16,204).

Bagaimanapun, penjualan besar-besaran topeng muka itu mencetuskan perdebatan apabila ada penjual yang mendakwa produk berkenaan boleh membantu orang ramai melepasi pemeriksaan pengecaman muka sensitiviti rendah, selain mendorong orang melakukan jenayah.

South China Morning Post (SCMP) melaporkan puluhan topeng muka silikon sudah terjual berdasarkan statistik platform e-dagang terbesar, Taobao.

Seorang pembeli turut berkongsi gambarnya memakai topeng Profesor Severus Snape, watak dilakonkan mendiang Alan Rickman dalam siri filem Harry Potter di ruangan komen.

Katanya, dia kagum dengan kualiti topeng itu dan setiap perinciannya yang kelihatan seperti asli.

Seorang pekerja pembuatan topeng memberitahu media tempatan, Legal Daily bahawa mereka boleh menghasilkan sebarang topeng muka silikon asalkan pelanggan menyertakan salinan 3D atau gambar kepala dari sudut 360 darjah, mahupun gambar orang yang pelanggan inginkan bersama data mengenai kepala dan ciri muka.

Katanya, ia akan mengambil masa selama sebulan untuk satu topeng muka disiapkan.

Seorang jurusolek berpangkalan di sini yang enggan namanya didedahkan, memberitahu topeng muka sebegitu biasanya digunakan dalam pembikinan filem.

Topeng yang lebih hyper-real (kelihatan hampir asli) memerlukan lebih banyak masa untuk dihasilkan dan kosnya tinggi.

Bagaimanapun, katanya, adalah mustahil untuk si pemakai mampu memintas sistem pengecaman muka apabila mengenakan topeng terbabit.

Terdapat kes yang mana topeng muka silikon berkualiti rendah digunakan untuk merompak, seperti berlaku pada Mac lalu di Shanghai.

Polis berjaya menahan lelaki lingkungan usia 40-an yang memakai topeng muka lelaki tua ketika memecah masuk sebuah flat dan mencuri hampir 100,000 yuan barang berharga (RM64,776.07).

Walaupun penjenayah itu mampu mengaburi rakaman CCTV, polis berjaya mengesannya berdasarkan bukti lain ditinggalkan ketika menyamun termasuk liputan telefon bimbitnya.

Ketika ini penjualan topeng muka silikon tidak diharamkan di China, namun topeng yang kelihatan sangat asli mungkin akan dikenakan sekatan undang-undang, seperti mencabuli reputasi dan hak individu, kata pengamal undang-undang Sherry Zhang.

Artikel ini disiarkan pada : Selasa, 9 Julai 2024 @ 12:47 PM