BOMBA memadamkan kebakaran dua tangki simpanan minyak sawit di Jalan Sekolah Kebangsaan Polis Kem, Taman Manis, Kulai. FOTO IHSAN BOMBA JOHOR
BOMBA memadamkan kebakaran dua tangki simpanan minyak sawit di Jalan Sekolah Kebangsaan Polis Kem, Taman Manis, Kulai. FOTO IHSAN BOMBA JOHOR
Nurul Amanina Suhaini


SEBUAH stor tempat simpanan bahan kimia terbakar dalam kejadian di Batu 24, Jalan Ayer Hitam, Kulai, petang tadi.

Komander Operasi Balai Bomba dan Penyelamat Kulai (BBP) Bakhtiar Selamat berkata, sejurus menerima panggilan kecemasan pada jam 2.59 petang, sebuah jentera bersama sembilan anggota bomba bergegas ke lokasi kejadian.

Katanya, kebakaran membabitkan stor separuh kekal yang menyimpan bahan kimia jenis toluene, acetone dan isopropyl alcohol.

"Kebakaran itu memusnahkan 40 peratus daripada keseluruhan tempat simpanan.

"Kebakaran turut membabitkan sebuah jentera forklift manakala seorang pekerja mengalami lecur di bahagian tangan berikutan cuba memadam kebakaran," katanya dalam kenyataan media, hari ini.

Menurutnya, dalam kejadian itu, pekerja stor simpanan cuba mengangkat bahan kimia terbabit menggunakan forklift untuk dimasukkan ke dalam tangki yang berisipadu 1,000 liter.

"Tiba-tiba terdapat percikan api menyebabkan berlakunya kebakaran dan terdapat enam pekerja pada ketika itu, bagaimanapun kebakaran tidak membabitkan mangsa.

"Punca kebakaran dan anggaran kerugian masih dalam siasatan dan operasi ditamatkan sepenuhnya pada jam 4.10 petang tadi," katanya.

Terdahulu, Bakhtiar berkata, pihaknya turut memadam kebakaran membabitkan dua tangki simpanan minyak sawit dalam sebuah stor simpanan di Jalan Sekolah Kebangsaan Polis Kem, Taman Manis, Kulai, pagi tadi.

Katanya, sejurus menerima panggilan kecemasan pada jam 11.33 pagi, dua jentera dari BBP Kulai dibantu BBP Bandar Baru Kulai dengan kekuatan seramai 18 anggota digerakkan ke lokasi kejadian.

"Kebakaran membabitkan dua tangki simpanan minyak sawit yang dikitar semula berkapasiti 30,000 liter setiap satu tangki.

"Namun ketika kejadian, tiada minyak sawit yang disimpan di dalam tangki selain kebakaran itu memusnahkan 10 peratus dari keseluruhan kedua-dua tangki itu.

"Kebakaran itu disedari pekerja yang melihat api bermula dari tayar lori tangki berkenaan.

"Kebakaran tidak membabitkan mangsa. Punca kebakaran dan anggaran kerugian masih dalam siasatan.

"Operasi ditamatkan sepenuhnya pada jam 12.38 tengah hari," katanya.

Artikel ini disiarkan pada : Selasa, 9 Jun 2020 @ 8:56 PM