SZE Han menjawab soalan pada Persidangan DUN Selangor. FOTO Faiz Anuar
SZE Han menjawab soalan pada Persidangan DUN Selangor. FOTO Faiz Anuar
Norzamira Che Noh


Shah Alam: Pembangunan Taman reka bentuk litar bersepadu (IC) dan pemacu semikonduktor Malaysia: Hab Selangor dijangka dapat mengurangkan isu penghijrahan cendekiawan atau 'brain drain' dalam industri semikonduktor negara berikutan tawaran pulangan gaji yang tinggi.

EXCO Pelaburan, Perdagangan & Mobiliti Selangor, Ng Sze Han berkata, kerajaan negeri juga menyasarkan lebih banyak rakyat tempatan yang sudah berhijrah ke luar negara untuk pulang dan membangunkan industri semikonduktor bersama-sama.

Katanya, pembangunan juga dijangka membawa pelbagai manfaat pulangan pelaburan (ROI) secara langsung kepada Selangor seperti pelaburan asing daripada syarikat semikonduktor bertaraf antarabangsa dan syarikat Modal Teroka bertaraf antarabangsa untuk mengembangkan perniagaan reka bentuk IC.

"Ia turut membuka peluang kepada pembangunan kilang pemprosesan di Selangor dan menyediakan peluang pekerjaan berpendapatan tinggi dan perkembangan ekonomi setempat.

"Penubuhan taman reka bentuk litar bersepadu ini adalah perkembangan penting dalam industri semikonduktor Malaysia, mencerminkan peralihan strategik daripada 'Dibuat di Malaysia' kepada 'Dibuat oleh Malaysia.'

"Peralihan ini penting kerana ia mewakili hasrat Malaysia untuk meningkatkan rantaian nilai semikonduktor, beralih dari proses di bahagian belakang seperti pembungkusan dan pengujian kepada rekaan dan inovasi IC di bahagian hadapan, atau upstream.

"Dengan memberi tumpuan kepada rekaan dan pembangunan, Malaysia mensasarkan untuk membangunkan kepakaran tempatan dan inovasi, mengurangkan pergantungan kepada teknologi asing dan meningkatkan nilai tambah dalam negara," katanya pada Persidangan Dewan Undangan Negeri (DUN) Selangor di sini, hari ini.

Sze Han berkata sedemikian bagi menjawab soalan Ong Chun Wei (PH-Balakong) berhubung Taman Reka Bentuk Semikonduktor di Selangor.

Mengulas lanjut, Sze Han berkata, pembangunan itu juga membawa peluang lebih besar kepada pemain semikonduktor tempatan untuk terlibat dalam kerja rekaan bernilai tinggi, akses kepada teknologi dan alat terkini, serta kerjasama dengan pemimpin teknologi global dan tempatan seperti CMSC, Inc, MaiStorage (anak syarikat Phison di Malaysia), SkyeChip Sdn Bhd, dan Persatuan Industri Semikonduktor Shenzhen.

"Persekitaran ini dijangka akan membangunkan bakat dan syarikat tempatan yang mampu bersaing di peringkat global, akhirnya meletakkan Malaysia sebagai peneraju dalam industri semikonduktor," katanya.

Artikel ini disiarkan pada : Selasa, 9 Julai 2024 @ 12:35 PM