GAMBAR hiasan
GAMBAR hiasan
Mohd Haris Fadli Mohd Fadzil


Kuala Lumpur: Sembilan individu sudah dirakam keterangan berhubung ugutan dan ancaman terhadap pempengaruh media sosial, Rajeswary atau lebih dikenali di TikTok sebagai Esha.

Ketua Polis Daerah Sentul, Asisten Komisioner Ahmad Sukarno Mohd Zahari berkata ia bagi membantu siasatan berhubung laporan dibuat mangsa pada Rabu lalu sebelum mangsa ditemui meninggal dunia keesokan harinya dipercayai akibat membunuh diri.

"Siasatan masih berjalan dan setakat ini sembilan saksi termasuk ahli keluarga mangsa sudah dirakam keterangan namun masih tiada tangkapan baharu," katanya kepada Harian Metro di sini, hari ini.

Terdahulu Harian Metro melaporkan, seorang wanita tempatan ditahan bagi membantu siasatan berhubung ugutan terhadap Rajeswary ditemukan meninggal dunia di rumahnya, Khamis lalu.

Pihak polis menerima laporan jam 4.13 petang pada Rabu lalu daripada seorang lelaki berusia 39 tahun berhubung ugutan diterima mangsa itu di aplikasi TikTok.

Laporan dibuat berhubung dua akaun TikTok

iaitu Dulal Brothers dan 'Alphaquinnsha' mengenai fitnah dan ugutan terhadap Rajeswary.

Ahmad Sukarno berkata, kedua-dua akaun TikTok terbabit menggunakan gambar Rajeswary sebagai latar belakang kandungan video yang dimuat naik ke akaun media sosial suspek.

Artikel ini disiarkan pada : Selasa, 9 Julai 2024 @ 1:01 PM