FOTO hiasan
FOTO hiasan
Abnor Hamizam Abd Manap


Jelebu: Tiada kenaikan harga ais seperti didakwa peniaga minuman dan makanan di negeri ini.

Pengarah Kementerian Perdagangan Dalam Negeri (KPDN) Negeri Sembilan Muhammad Zahir Mazlan berkata pihaknya sudah membuat pemeriksaan ke atas sebuah syarikat pengilang ais di Seremban susulan berlaku dakwaan kenaikan harga ais sehingga 30 sen.

Katanya pemeriksaan mendapati syarikat berkenaan tidak menaikkan harga ais dan ia masih dijual pada harga lama.

"Pemeriksaan ke atas lori yang digunakan bagi menghantar ais kepada pelanggan juga mendapati ia sudah didaftarkan di bawah Skim Kawalan Diesel Bersubsidi (SKDS).

"Pengilang itu masih mengekalkan harga lama iaitu dari RM3 hingga RM3.15 bagi pek 15 kilogram selain belum mengeluarkan apa-apa kenyataan bagi menaikkan harga ais," katanya hari ini.

Katanya KPDN juga turut memberi amaran kepada syarikat terbabit supaya tidak menaikkan harga ais tanpa sebarang alasan munasabah.

"Kita masih melakukan siasatan bagaimana berlaku kenaikan harga daripada RM4 sehingga RM4.50 seperti didakwa peniaga.

"Sekiranya peniaga merasakan berlaku kenaikan harga oleh pembekal, kemukakan aduan kepada KPDN berserta resit pembelian," katanya.

Sebelum itu kecoh di media sosial apabila ada peniaga mendakwa harga ais naik 30 sen menjadi harga belian terbaharu adalah RM4.30 berbanding RM4 sebelumnya.

Peniaga makanan dikenali Mohd, 40 dari Kuala Klawang mendakwa sebelum ini satu bag ais yang dibeli daripada penghantar adalah RM3.80 sen sebelum ia naik sebanyak 20 sen dan yang terbaharu adalah 30 sen.

Artikel ini disiarkan pada : Selasa, 9 Julai 2024 @ 12:17 PM