AB Rauf Yusoh ketika menjawab pertanyaan media di Lobi Menara Dato Onn, PWTC, baru-baru ini. FOTO Fathil Asri.
AB Rauf Yusoh ketika menjawab pertanyaan media di Lobi Menara Dato Onn, PWTC, baru-baru ini. FOTO Fathil Asri.
BERNAMA

PENGERUSI Barisan Nasional (BN) Melaka Datuk Seri Ab Rauf Yusoh berkata, Yang Dipertua Negeri Melaka Tun Dr Mohd Khalil Yaakob memaklumkan Ketua Menteri Melaka yang baharu adalah dalam kalangan 15 Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) menyokong gabungan BN.

BN mempunyai 13 ADUN dalam Dewan Undangan Negeri Melaka manakala dua lagi yang menyokong gabungan itu ialah ADUN Rembia Datuk Muhammad Jailani Khamis (PKR) dan ADUN Pengkalan Batu Datuk Norhizam Hassan Baktee (DAP).

Ab Rauf berkata, bagaimanapun nama Ketua Menteri Melaka yang baharu itu hanya akan diumumkan pada 3 petang sebelum Istiadat Pengurniaan Surat Cara Pelantikan dan Angkat Sumpah Jawatan, Taat Setia Serta Sumpah Simpan Rahsia Ketua Menteri Melaka Ke-12 dijadual Isnin ini.

“Seramai 13 ADUN BN bersama dua ADUN gabungan dipanggil menghadap Yang Dipertua Negeri Melaka hari ini bagi membincangkan situasi politik negeri Melaka.

“Perbincangan menjurus kepada kesejahteraan rakyat khususnya kestabilan politik Melaka keseluruhannya.

“Dimaklumkan kepada kami calon Ketua Menteri Melaka Ke-12 akan diumumkan pada 3 petang sebelum majlis angkat sumpah 9 Mac yang datangnya dalam kalangan wakil rakyat, 13 (ADUN BN) tambah dua orang (gabungan sokong BN),” katanya pada sidang media di Ayer Keroh, hari ini.

Artikel ini disiarkan pada : Jumaat, 6 Mac 2020 @ 6:59 PM