DEWAN Undangan Negeri Melaka. FOTO Arkib NSTP.
DEWAN Undangan Negeri Melaka. FOTO Arkib NSTP.
Amir Mamat


Ayer Keroh: Istiadat mengangkat sumpah jawatan Ketua Menteri (KM) Melaka yang baharu akan diadakan pada 3 petang esok.

Setiausaha Kerajaan Negeri, Datuk Zaidi Johari dalam kenyataannya berkata, istiadat itu akan berlangsung di Dewan Sri Utama, Pejabat Tuan Yang Terutama (TYT) Yang di-Pertua Negeri Melaka di Kompleks Seri Negeri, di sini.

"Adalah dimaklumkan bahawa, TYT Yang di-Pertua Negeri Melaka sudah pun menerima surat peletakan jawatan Datuk Seri Utama Sulaiman Md Ali sebagai Ketua Menteri Melaka Ke-12.

"Sehubungan itu, berdasarkan Perenggan (a), Fasal 2, Perkara 7, Perlembagaan Negeri Melaka, TYT Yang di-Pertua Negeri Melaka hendaklah melantik seorang Ahli Dewan Undangan Negeri (Adun) sebagai Ketua Menteri Melaka yang baharu untuk mengetuai Majlis Mesyuarat Kerajaan Negeri Melaka.

"Istiadat Pengurniaan Suratcara Pelantikan dan Angkat Sumpah Jawatan, Taat Setia serta Sumpah Simpan Rahsia Ketua Menteri Melaka Ke-13 akan diadakan esok jam 3 petang," katanya.

Beberapa nama pemimpin Umno negeri disebut-sebut untuk menggantikan Sulaiman, termasuk Pengerusi Badan Perhubungan Umno negeri yang juga Adun Tanjung Bidara, Datuk Seri Ab Rauf Yusoh.

Artikel ini disiarkan pada : Khamis, 30 Mac 2023 @ 11:54 AM