LAPORAN portal berita Harian Metro, semalam.
LAPORAN portal berita Harian Metro, semalam.
Amir Mamat


ISTIADAT Mengangkat Sumpah Ketua Menteri Melaka baharu yang dijadual diadakan esok, ditangguhkan sehingga Isnin ini.

Perkara itu dimaklumkan menerusi satu kenyataan media oleh Setiausaha Kerajaan Negeri (SUK), Datuk Seri Hasim Hassan hari ini.

“Dimaklumkan bahawa Tuan Yang Terutama (TYT) Yang di-Pertua Negeri Melaka, Tun Dr Mohd Khalil Yaakob memutuskan Istiadat Pengurniaan Suratcara Pelantikan dan Angkat Sumpah Jawatan, Taat Setia serta Sumpah Simpan Rahsia Ketua Menteri Melaka ke-12 ditangguhkan.

“Istiadat itu akan berlangsung pada 9 Mac 2020 bersamaan Isnin pada 3 petang di Dewan Seri Utama Pejabat TYT di Kompleks Seri Negeri, Ayer Keroh,” katanya.

Pagi tadi, Perikatan Nasional (PN) Melaka menarik balik kerjasama dengan dua Ahli Dewan Undangan Negeri (Adun) Parti Pribumi Bersatu Malaysia (Bersatu).

Ia membabitkan Adun Paya Rumput, Datuk Mohd Rafiq Naizamohideen dan Adun Telok Mas, Datuk Noor Effandi Ahmad.

Langkah itu susulan tindakan kedua-dua Adun berkenaan yang mengenepikan peranan 13 Adun Barisan Nasional (BN) dalam usaha membentuk kerajaan negeri yang baharu.

Berikutan itu, 15 Adun PN mengadakan pertemuan dengan Mohd Khalil, petang hari ini.

  • Lagi berita berkaitan Desas-desus pakatan baharu
  • Artikel ini disiarkan pada : Khamis, 5 Mac 2020 @ 8:20 PM