PERSIDANGAN Ketiga (Bajet), Penggal Kedua, Dewan Undangan Negeri Melaka ke-14 di Seri Negeri, Ayer Keroh. FOTO Rasul Azli Samad
PERSIDANGAN Ketiga (Bajet), Penggal Kedua, Dewan Undangan Negeri Melaka ke-14 di Seri Negeri, Ayer Keroh. FOTO Rasul Azli Samad
Amir Mamat


PARTI Pribumi Bersatu Malaysia (Bersatu) negeri kekal dengan pendirian untuk menyokong siapa sahaja dalam kalangan Ahli Dewan Undangan Negeri (Adun) dilantik sebagai Ketua Menteri Melaka yang baharu, esok.

Timbalan Ketuanya, Datuk Mohd Rafiq Naizamohideen berkata, parti itu akan tetap konsisten dengan keputusan pemilihan oleh Yang di-Pertua Negeri, Tun Dr Mohd Khalil Yaakob itu.

“Apa yang rakyat mahu sekarang adalah kemelut politik berlaku di negara dan negeri dihentikan segera serta tidak berpanjangan.

“Tumpuan kerajaan baharu itu harus menyelesaikan isu berkaitan pembangunan ekonomi rakyat serta penyelesaian jangka pendek, sederhana dan panjang bagi menangani krisis air yang menjejaskan kehidupan rakyat.

“Selain itu, sektor perindustrian dan pelaburan, kesihatan rakyat termasuk langkah pencegahan penularan Covid-19, kebajikan dan pendidikan rakyat perlu diberikan tumpuan utama,” katanya dalam satu kenyataan di Melaka, hari ini.

Sehubungan itu, Mohd Rafiq yang juga Adun Paya Rumput, berkata Bersatu negeri berharap supaya semua ahli dan penyokong parti serta rakyat negeri ini dapat bertenang dan menaruh penuh keyakinan terhadap pentadbiran kerajaan baharu itu kelak.

Katanya, beliau turut berdoa semoga pentadbiran itu akan berjalan dengan lebih teratur dan lancar sebaik urusan pelantikan Ketua Menteri Melaka dan barisan Exco selesai.

“Bersatu Melaka komited ke arah memperkukuhkan gabungan politik baharu Perikatan Nasional (PN) yang menggabungkan Barisan Nasional (BN), PAS dan Bersatu seperti dipersetujui bersama kepemimpinan tertinggi parti bagi membentuk Kerajaan Persekutuan,” katanya.

Istiadat Pengurniaan Suratcara Pelantikan dan Angkat Sumpah Jawatan, Taat Setia serta Sumpah Simpan Rahsia Ketua Menteri Melaka ke-12 dijadual diadakan pada 3.30 petang esok.

Istiadat di Pejabat Tuan Yang Terutama (TYT) di Kompleks Seri Negeri, Ayer Keroh, akan dilakukan di hadapan Mohd Khalil.

PN dikatakan sudah mengemukakan nama calon kepada Mohd Khalil untuk dipertimbangkan sebagai Ketua Menteri Melaka.

Khamis lalu, PN Melaka menarik balik kerjasama dengan Adun Bersatu membabitkan Mohd Rafiq dan Adun Telok Mas, Datuk Noor Effandi Ahmad.

Pengerusi BN negeri, Datuk Seri Ab Rauf Yusoh, dilaporkan berkata langkah itu diambil susulan tindakan kedua-dua Adun berkenaan mengenepikan peranan 13 Adun BN dalam usaha membentuk kerajaan negeri yang baharu.

  • Lagi berita berkaitan desas-desus pakatan baharu
  • Artikel ini disiarkan pada : Ahad, 8 Mac 2020 @ 3:12 PM