LATHEEFA.FOTO Saifullizan Tamadi
LATHEEFA.FOTO Saifullizan Tamadi
Farah Marshita Abdul Patah


KETUA Pesuruhjaya Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) Latheefa Koya, sudah mengarahkan pegawainya untuk memulakan siasatan ke atas bekas Menteri Wilayah, Datuk Seri Tengku Adnan Tengku Mansor berhubung aset ratusan juta ringgit yang didedahkannya di Mahkamah Tinggi Kuala Lumpur, semalam.

“Pendedahan mengenai aset Tengku Adnan ketika perbicaraan rasuahnya semalam adalah perkara yang serius.

“Saya sudah mengarahkan SPRM untuk memulakan siasatan.

“Isu kami bukan membabitkan pendedahan aset tetapi bagaimana beliau memperolehnya,” katanya.

Latheefa berkata demikian ketika ditemui media di perkarangan Mahkamah Tinggi Kuala Lumpur, hari ini, selepas memberi keterangan selaku saksi ke-13 pendakwaan pada perbicaraan hari ke-88 kes SRC International membabitkan Datuk Seri Najib Razak.

Terdahulu, pada perbicaraan tuduhan menerima RM2 juta daripada ahli perniagaan, Tan Sri Chai Kin Kong di Mahkamah Tinggi Kuala Lumpur semalam, Ahli Parlimen Putrajaya itu berkata, beliau sudah mengisytiharkan asetnya kepada tiga perdana menteri semasa beliau berkhidmat sejak menyertai kabinet pada 2001.

Ia membabitkan Tun Dr Mahathir Mohamad, Tun Abdullah Ahmad Badawi dan Datuk Seri Najib Razak.

Tengku Adnan juga mengesahkan bahawa beliau sudah mengisytiharkan asetnya yang berjumlah RM938,643,566.16 kepada Dr Mahathir pada 2001.

Pada 2006, Tengku Adnan mengisytiharkan jumlah asetnya kepada Abdullah berjumlah RM711,325,822.00.

Kepada Najib pula, beliau mengisytiharkan asetnya berjumlah RM691,770,649.00 dan RM782,748,061.00 pada 2013 serta 2016.

Artikel ini disiarkan pada : Khamis, 5 Mac 2020 @ 7:05 PM