Farah Marshita Abdul Patah


KES bekas Menteri Wilayah Persekutuan, Datuk Seri Tengku Adnan Tengku Mansor yang didakwa atas dua tuduhan menerima rasuah dan satu pertuduhan pilihan menerima rasuah berjumlah RM3 juta akan dipindahkan ke Mahkamah Tinggi Kuala Lumpur.

Hakim Mahkamah Sesyen Azman Ahmad membuat keputusan itu selepas pihak pendakwaan memaklumkan permohonan pembelaan untuk memindahkan kes mengikut Seksyen 417 Kanun Acara Jenayah dibenarkan oleh Mahkamah Tinggi.

Terdahulu, Timbalan Pendakwa Raya, Aida Mastura Mohamed Aman, memaklumkan Mahkamah Tinggi membenarkan permohonan itu pada 14 Disember tahun lalu.

“Bagaimanapun, pihak pembelaan belum menerima perintah di mana kes akan dibicarakan,” katanya.

Mahkamah turut memerintahkan jaminan diserahkan kepada Pejabat Pendaftar Mahkamah Tinggi.

Pada prosiding itu, peguam Datuk Tan Hock Chuan yang mewakili Tengku Adnan, 68, turut mengesahkan perkara dan pasport anak guamnya diserahkan semula kepada mahkamah hari ini.

Sebelum ini, mahkamah membenarkan pelepasan sementara pasport itu bermula 12 Disember lalu dan memerintahkan tertuduh mengembalikan semula pasportnya kepada mahkamah hari ini.

Tengku Adnan yang juga Bendahari UMNO mengemukakan permohonan mendapatkan sementara pasportnya bagi membolehkan beliau mendapatkan pemeriksaan kesihatan di sebuah hospital di Melbourne, Australia.

Pada 15 November tahun lalu, Tengku Adnan mengaku tidak bersalah secara rasuah menerima bagi dirinya suatu suapan, iaitu wang berjumlah RM1 juta daripada Tan Eng Boon melalui cek Public Bank milik syarikat Pekan Nenas Industries Sdn Bhd yang didepositkan ke dalam akaun CIMB Bank bernombor 14200008384058 miliknya.

Perbuatan itu sebagai upah bagi dirinya kerana meluluskan permohonan Nucleus Properties Sdn Bhd (sekarang dikenali sebagai Paragon City Development Sdn Bhd), untuk menaikkan ratio plot berkaitan dengan pembangunan Lot 228, Jalan Semarak, Kuala Lumpur.

Dia dituduh melakukan kesalahan di CIMB Bank Berhad, Cawangan Pusat Dagangan Dunia Putra, Level 2, Podium Block, Pusat Dagangan Dunia Putra, Jalan Tun Ismail, Kuala Lumpur, pada 27 Disember 2013 dan didakwa perenggan 16(a)(A) Akta Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia 2009 (SPRM) [Akta 694], yang boleh dihukum penjara maksimum 20 tahun dan denda.

Tengku Adnan turut didakwa atas tuduhan pilihan iaitu sebagai seorang Menteri Wilayah Persekutuan, menerima untuk diri sendiri wang berjumlah RM1 juta daripada Eng Boon melalui cek Public bank bernombor 300109 milik syarikat Pekan Nenas Industries Sdn Bhd yang didepositkan ke dalam akaun CIMB Bank miliknya, yang diketahui Tan sebagai seorang Pengarah di syarikat Nucleus Properties Sdn Bhd ada perhubungan dengan kerja rasminya,di tempat dan tarikh sama.

Beliau didakwa mengikut Seksyen 165 Kanun Keseksaan yang memperuntukkan hukuman penjara maksimum dua tahun atau denda atau kedua-duanya, jika sabit kesalahan.

Bagi pertuduhan kedua, Tengku Adnan didakwa menerima untuk diri sendiri wang berjumlah RM2 juta daripada Chai Kin Kong melalui cek Hong Leong Islamic Bank bernombor 136822 milik syarikat Aset Kayamas Sdn Bhd yang didepositkan ke dalam akaun CIMB Bank milik Tadmansori Holding Sdn Bhd yang di dalamnya beliau mempunyai kepentingan, yang diketahui bahawa syarikat Aset Kayamas Sdn Bhd ada perhubungan dengan kerja rasminya.

Beliau dituduh melakukan kesalahan itu di CIMB Bank Berhad, Cawangan Pusat Bandar Damansara, Level 1, Lot A4, Block A, Pusat Bandar Damansara, Kuala Lumpur, pada 14 Jun, 2016 dan didakwa mengikut seksyen 165 Kanun Keseksaan, yang memperuntukkan hukuman penjara maksimum dua tahun atau denda atau kedua-duanya.

Artikel ini disiarkan pada : Isnin, 7 January 2019 @ 10:47 PM
TENGKU Adnan (dua dari kiri) hadir di Mahkamah Sesyen Jenayah, Kuala Lumpur, hari ini. FOTO Aswadi Alias.
TENGKU Adnan (dua dari kiri) hadir di Mahkamah Sesyen Jenayah, Kuala Lumpur, hari ini. FOTO Aswadi Alias.